TAIPING - Polis Perak akan meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan di 21 lokasi titik hitam yang kerap berlaku kemalangan pada musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, lokasi terbabit membabitkan semua daerah antaranya di Jalan Ipoh-Lumut, Jalan Teluk Intan-Hutan Melintang, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, Jalan Ipoh-Butterworth, Batu 3 - 28 Jalan Tapah-Cameron Highlands, laluan di Bukit Jala, Kampung Sawa dan Lawin di Gerik dan Jalan Pengkalan Hulu-Baling.
Menurutnya, berdasarkan statistik Op Selamat 21 lalu, kemalangan yang direkodkan di negeri ini adalah 892 kes dengan sembilan kemalangan maut, dua kes kemalangan cedera parah dan cedera ringan 29 kes manakala 852 pula bagi kemalangan rosak kenderaan.
"Di kawasan ini kita akan menumpu kepada enam kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu.
"Sekiranya ada pemandu dikesan melakukan kesalahan ini, awal-awal anggota yang menjalankan rondaan akan mengenakan tindakan dan kuatkuasakan undang-undang terhadap mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 peringkat Kontinjen Perak di Plaza Tol Taiping Selatan, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini pada Isnin.
Zulkafli berkata, tumpuan turut diberikan terhadap 43 kawasan titik panas yang dikenal pasti kerap berlaku kesesakan akibat pertambahan kenderaan semasa musim perayaan.
Katanya, antara laluan yang dikenal pasti adalah lampu isyarat Plaza Tol Slim River, Jalan Teluk Muroh -Sungai Wangi iaitu berhampiran lampu isyarat Kampung Lumut Kiri, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur (Plaza Tol Gopeng) dan Pekan Selama
"Daripada kawasan dikenal pasti ini, kita akan pastikan anggota bertugas fokus melancarkan perjalanan, bukannya mencari kesalahan.
"Di sinilah kita laksanakan advokasi supaya aliran trafik lancar dan tidak sesak," katanya sambil memaklumkan seramai 250 pegawai dan anggota ditugaskan sepanjang Op Selamat 23 dilaksanakan bermula 28 Januari sehingga 2 Februari depan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Lebuhraya WCE, Lyndon Alfred Felix berkata, pihaknya meramalkan peningkatan jumlah kenderaan melebihi 120,000 setiap hari.
Bagi menghadapi situasi tersebut, pihaknya telah menyediakan beberapa inisiatif utama dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak PLUS antaranya memanjangkan sela lampu hijau di persimpangan FT5 Seberang Perak dan mengaktifkan lorong simpanan tambahan di plaza tol utama seperti di Hutan Melintang, Teluk Intan dan Lekir.
"Lebuhraya WCE juga menyediakan kemudahan 52 tempat teduhan motosikal dilengkapi sistem pencahayaan, fasiliti pengecasan kenderaan elektrik EV di Hentian Sebelah Taiping, Trong dan Assam Jawa serta pembukaan hentian rehat dan rawat Sungai Nyior yang menyediakan gerai makanan, surau dan tandas untuk kegunaan pengguna," katanya.