Berhijrah ke kampung demi kelangsungan hidup

Iklan
Che N Intan (dua kiri) ketika menguruskan gerainya di Air Hitam.

JEMPOL - Meskipun diuji dengan kesihatan suami selain terpaksa menutup perniagaan kedai runcit di Bahau, seorang wanita tidak berputus asa dengan mencuba nasib membuka gerai jualan hasil kampung di Air Hitam, di sini.

Che N Intan Zainol, 51, mengakui pada awalnya kamia tidak seperti yang dirancang kerana dia tiba-tiba diserang minor strok pada Oktober tahun lepas dan terpaksa ditahan wad Hospital Jempol sehingga menyebabkan perniagaannya terjejas.

Iklan
Iklan

"Saya menetap di Bahau sudah lebih 20 tahun dan berpindah ke Air Hitam pada Mac tahun lalu. Memang tidak jangka, ubah angin berniaga di kawasan agak jauh dari pekan dan pusat bandar sejak Julai tahun lepas.

"Tapi demi mencari rezeki saya usahakan juga perniagaan ini dan Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Saya menyewa gerai tepi jalan dekat jalan utama Jalan Bandar Seri Jempol - Air Hitam dengan menjual pelbagai jenis sayur kampung termasuk kerepek, biskut dan buah-buahan," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Ujarnya, dibantu oleh menantu dan anak-anak, manakala suaminya tidak dapat bekerja sepenuh masa kerana menghidapi kanser peti suara.

Che N Intan (kanan) ketika menguruskan gerai jualannya.

Ditanya mengenai kedai runcit di Bahau, Che N Intan menjelaskan penutupan premis itu disebabkan kekangan kewangan kesan daripada pandemik Covid-19 sehingga dia mengalami kerugian teruk.

Iklan

"Selepas premis ditutup, kesihatan suami pula semakin membimbangkan. Jadi saya perlu fokus untuk menjaganya walaupun kesihatannya masih belum pulih sepenuhnya.

"Saya lebih selesa berniaga sendiri sebab saya tidak mampu bekerja bawah orang kerana saya perlu menguruskan anak-anak serta suami," katanya.

Che N Intan berkata, dulu perdapatan suami mencecah RM3,000 sebulan bekerja sebagai pekerja kontrak bangunan tetapi ia berubah selepas jatuh sakit.

"Saya berharap apa yang saya usahakan ini kekal selain berkemampuan untuk memiliki premis sendiri, membuka kedai runcit sekali gus dapat mengubah kehidupan saya sekeluarga.

"Saya tahu ramai lagi yang turut berjuang meneruskan kelangsungan hidup bahkan diuji pula dengan penyakit. Semoga segala kesusahan pada hari ini segera berakhir," katanya yang berharap dikurniakan kesihatan yang baik.