KUANTAN- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang menafikan berlaku kekerasan ke atas anggotanya sebagaimana video yang tular sejak Jumaat.
Sebaliknya, adegan dalam video tular tersebut sebahagian daripada babak yang dilakonkan dalam raptai demonstrasi sempena lawatan kerja Ketua Pengarah JPJ pada Isnin ini.
JPJ Pahang menegaskan bahawa kekasaran dimaksudkan adalah tidak benar dan menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat atau mengelirukan.
"Perbuatan itu boleh mencetuskan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
"Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dan merujuk kepada sumber yang sahih sebelum mempercayai dan berkongsi sebarang berita atau video yang tersebar," jelasnya melalui kenyataan pada Sabtu.
Sementara itu, JPJ Pahang turut menegaskan agensi itu komited memastikan setiap anggota penguat kuasa dilatih dengan baik dan bersedia untuk menangani sebarang situasi dengan profesionalisme dan integriti yang tinggi.
"Sebarang pertanyaan lanjut atau maklumat mengenai kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi JPJ Pahang di talian rasmi atau merujuk kepada saluran komunikasi rasmi kami untuk perkembangan terkini," ujarnya.
Sebelum ini video memaparkan seorang lelaki bertindak agresif menumbuk seorang pegawai JPJ tular di media sosial dan kejadian itu dikatakan berlaku di Kuantan.
Berdasarkan video tersebut, situasi tegang itu berlaku selepas sebuah kereta berwarna hitam datang menghampiri sebuah lori dan kenderaan rasmi JPJ.