JELI - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan polis untuk menjadi pemudah cara kepada peserta yang menyertai perhimpunan antirasuah pada Sabtu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan yang ada hari ini sentiasa menghormati kebebasan berhimpun sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kepada setiap rakyat.
"Saya tekankan pada masa yang sama sudah tentu kita ada Akta Perhimpunan Aman menjelaskan peranan peserta himpunan, penganjur dan juga pihak polis.
Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Penyerahan Projek Membina Bangunan Baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli di sini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Ir Ibrahim Esa.
Menurut beliau, jemaah menteri telah mengambil maklum dan bersetuju dengan penerangan yang diberikan.
Ujarnya, semasa perhimpunan itu polis akan menempatkan anggota yang munasabah sahaja dan beliau sudah bercakap dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengenai perkara tersebut.
Saifuddin Nasution berkata, beliau mahu penganjur melaksanakan tanggungjawab dengan memastikan peserta tidak membawa senjata tajam dan juga kanak-kanak di bawah umur.
Media melaporkan, kerajaan tidak menghalang orang ramai menganjurkan perhimpunan antirasuah dengan syarat mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, beliau tiada bantahan terhadap perhimpunan aman menentang rasuah yang bakal berlangsung di ibu kota esok.