Bukan soal kemampuan, tetapi atas izin ALLAH

Iklan
Menjejak kaki ke Tanah Suci adalah kerana jemputan dan keizinan ALLAH. Gambar hiasan

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, banyak kes penipuan berkaitan pakej umrah berlaku di negara ini sehingga menjadi topik hangat sama ada di media arus perdana atau media sosial.

Pihak yang melakukan penipuan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencemarkan Islam kerana mengaut keuntungan dengan menjadikan jemaah yang mahu melakukan ibadah sebagai mangsa.

Iklan
Iklan

Amat menyedihkan apabila bakal jemaah yang sanggup menjual harga benda dan mengikat perut untuk menjadi tetamu ALLAH, tetapi berakhir dengan air mata apabila duit yang dikumpulkan lebur begitu sahaja oleh si penipu.

Peningkatan harga pakej umrah saban tahun sehingga mencecah RM7,000 seorang menyebabkan ramai tidak berfikir panjang apabila melihat iklan yang menawarkan harga lebih murah tanpa mengkaji latar belakang syarikat pengendali.

Iklan

Ada syarikat menggunakan gambar selebriti dan tokoh agama sebagai tarikan kepada bakal jemaah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf sebelum ini berkata, modus operandi yang digunakan syarikat tersebut ialah menggunakan gambar ikon, ustaz, ustazah atau selebriti terkenal sebagai iklan.

Iklan

Harga yang ditawarkan jauh lebih rendah berbanding agensi pelancongan berlesen di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Selain itu, polis turut mengesan syarikat pengendali umrah menggunakan wang kumpulan jemaah semasa untuk menampung kos kumpulan jemaah terdahulu.

Merumitkan lagi keadaan, ada dalam kalangan pengendali membawa jemaah melancong ke Makkah, seterusnya melakukan umrah dengan menggunakan visa pelancong atau dikenali sebagai umrah DIY.

Malah, ada ejen menyamar sebagai wakil syarikat pengendali pelancongan ternama dan mengutip wang bayaran daripada jemaah.

Sehingga tahun lalu, kes penipuan umrah mencatatkan kerugian lebih RM700,000 melibatkan 29 kes.

Justeru, orang ramai perlu sentiasa berhati-hati dengan membuat semakan terlebih dahulu dengan MOTAC sebelum membuat pembayaran. MOTAC merupakan agensi bertanggungjawab mengeluarkan lesen kepada pengendali perkhidmatan tersebut.

Teringat kata-kata mutawif daripada Andalusia Travel and Tours, Ahmad Junaidi Omar yang menguruskan jemaah umrah ketika penulis turut serta baru-baru ini.

Katanya, ramai beranggapan menunaikan umrah adalah kerana mereka mempunyai wang dan masa terluang.

Mereka terlepas pandang bahawa sebenarnya seseorang yang menjejak kaki ke Tanah Suci adalah kerana jemputan dan keizinan ALLAH.

Berdasarkan kes yang dikongsikan beliau, ada jemaah yang sudah berada di lapangan terbang menunggu saat berlepas, namun gagal akibat masalah visa.

Ada juga jemaah yang sudah sampai di Tanah Suci tetapi hanya mampu duduk di dalam bilik sepanjang masa kerana diuji sakit setibanya di Makkah.

Namun, ada juga kisah menggembirakan pasangan suami isteri yang hanya bekerja kampung dan memasang niat untuk ke Tanah Suci, tetapi ALLAH mengizinkan dengan mencukupkan kewangannya untuk melaksanakan ibadah berkenaan.

Ahmad Junaidi juga berpesan, menunaikan ibadah umrah adalah untuk penyucian jiwa, bukan untuk membuat content seperti membeli belah dan menikmati hidangan lazat di sana untuk dimuatkan di media sosial.

Disebabkan itu, katanya, sekiranya berlaku sebarang ujian kepada jemaah yang berhajat menunaikan umrah, berlapanglah dada.

Anggap ALLAH belum lagi menjemput kita ke sana. ALLAH itu Maha Mendengar dan Maha Mengasihani.

Kalau bukan hari ini, tidak mustahil suatu hari akan tercapai juga impian untuk melihat Kaabah di depan mata dan menziarahi makan Rasulullah SAW.

Penulis berharap jemaah-jemah yang menjadi mangsa penipuan pakej umrah akan dapat ‘terbang’ juga ke Makkah dan Madinah pada satu hari nanti.

Sebagai hamba-NYA, kita perlu terus berdoa dan jangan mudah berputus asa.

* Hazelen Liana Kamarudin ialah Ketua Biro Sinar Harian Kelantan.