ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan harga belian padi sewajarnya dinaikkan kepada RM1,800 per tan berbanding RM1,300 pada ketika ini.
Beliau berkata, harga semasa tersebut tidak lagi relevan dengan kos pengeluaran padi pada masa kini yang semakin meningkat menyebabkan ia berada pada bawah harga kos operasi.
Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu segera mengambil tindakan dan pertimbangan menyelesaikan kemelut itu bersama Kementerian Kewangan, dan Kementerian Ekonomi.
"Kementerian berkenaan perlu runding segera dengan Perdana Menteri kerana ia isu mendesak dan menjadi keluh kesah pesawah.
"RM1,300 per tan memang tidak wajar, tak boleh lagi kekal sebab input pertanian mengalami kenaikan harga seperti benih, racun dan baja. Tak kan harga padi tak naik? Memang berada bawah harga kos kerana kos pesawah RM1,600 per hektar,” katanya pada sidang akhbar selepas penyerahan sumbangan sempena Tahun Baru Cina di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Hadir sama, Exco Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam serta NGO negeri, Wong Chia Zhen.
Menurut Sanusi, situasi tersebut menyebabkan golongan pesawah terus dihimpit tekanan kerana berdepan kerugian.
"Kos satu hektar RM1,600 dan perlu tunggu enam bulan. Harga belian padi satu tan RM1,300 memang tak balik modal, harap perkara itu dapat perhatian kerajaan Persekutuan.
"Pesawah pun sudah kemukakan hal tersebut kepada Kementerian Asas Tani dan Keterjaminan Makanan, harap ada tindakan diambil,” ujarnya.
Beliau berkata, biarpun sudah dibangkitkan persoalan mengenai bekalan beras tempatan dan harga belian padi sejak sekian lama, namun isu berkenaan masih belum ditangani sebaiknya.
"Memang pelik, beras tempatan tak ada. Semua beras import tapi beli padi murah. Ini yang menjadi persoalan.
"Pasal apa padi masih harga RM1,300 per tan sedangkan pernah cecah hingga RM1,800. Kenapa ketika itu harga tinggi, adakah sebab nak jual sebagai beras import? Saya pun tak faham. Beras tempatan tak ada, beras import banyak padahal padi ditanam di negeri ini, mana pergi beras tu?” soalnya.
Dalam pada itu, Sanusi mengingatkan pihak tertentu yang sering menuding jari kepada kerajaan negeri selaku negeri Jelapang Padi agar memahami prosedur industri beras negara.
"Ada pihak pertikai menteri besar buat apa? Saya nak bagi tahu isu ini bukan bidang kuasa saya, bidang kuasa Kementerian Asas Tani dan Keterjaminan Makanan.
"Cuba bagi kuasa itu pada saya. Punggah!” katanya sinis.
Kebelakangan ini, pesawah di beberapa negeri bangkit meluahkan keluh kesah mereka yang masih berdepan dengan harga belian padi serendah RM1,300 per tan.