SHAH ALAM - Pengisytiharan aset oleh dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi peluang kepada rakyat untuk memahami kepentingan integriti dan akauntabiliti dalam kalangan pemimpin serta individu berpengaruh.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pendedahan tersebut perlu disusuli dengan tindakan tegas sekiranya wujud pelanggaran undang-undang.
Ujar beliau, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk menjalankan tugas dengan bebas dan tanpa pengaruh politik bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
"MCW berharap langkah ini menjadi permulaan kepada perubahan yang lebih menyeluruh dalam membanteras rasuah dan membina pentadbiran yang lebih baik untuk negara.
"Kami menyeru semua pihak, khususnya mereka yang memegang jawatan awam, untuk mempraktikkan integriti dan akauntabiliti seperti ini sebagai asas utama dalam menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada Selasa berkata, dua anak Dr Mahathir iaitu Mirzan dan Tan Sri Mokhzani telah selesai melakukan pengisytiharan harta mengikut masa yang telah ditetapkan.
Kata beliau, ini bagi membantu siasatan berhubung Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Menurut Jais, pihaknya turut menegaskan keperluan untuk memperluas kewajipan pengisytiharan aset kepada semua individu memegang jawatan awam, termasuk ahli keluarga mereka yang mungkin berpotensi memanfaatkan kedudukan tersebut.
Ulasnya, langkah berkenaan dapat menyumbang kepada pembinaan ekosistem pentadbiran yang lebih telus pada masa akan datang.
"Pengisytiharan aset ini menunjukkan komitmen untuk mematuhi undang-undang dan memastikan integriti dalam pentadbiran swasta dan awam.
"Ketelusan seperti ini adalah kunci untuk memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi dan individu yang mempunyai kedudukan berpengaruh,” ujarnya.
Tambah beliau, MCW menyokong kenyataan Azam, yang menyatakan kepuasan terhadap dokumen berkaitan pengisytiharan harta tersebut.
"Namun kami menyeru agar siasatan lanjut dijalankan untuk memastikan sumber aset ini adalah sah, bebas daripada sebarang unsur rasuah atau salah guna kuasa,” menurutnya.