Suara NGO jadi rujukan penting EAIC perkukuh agenda integriti

Iklan
Ismail (kanan) dan Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub (dua dari kiri) ketika sesi dialog Suara NGO Bersama Pengerusi EAIC mengenai tadbir urus dan integriti di Menara Usahawan, Putrajaya pada Selasa.

SHAH ALAM – Suara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan terus menjadi rujukan penting kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam menyokong agenda reformasi penguatkuasaan yang telus dan berintegriti.

Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, melalui interaksi langsung dengan masyarakat, NGO merupakan pemberi maklumat penting dalam menyalurkan isu sebenar di lapangan, termasuk cabaran rakyat dan pengalaman yang tidak tercatat dalam data rasmi, seperti salah laku serta ketirisan integriti dalam kalangan penguat kuasa.

Iklan
Iklan

"Isu integriti tidak boleh ditangani melalui penguatkuasaan semata-mata. Ia memerlukan langkah pencegahan, penambahbaikan sistem dan reformasi institusi secara menyeluruh.

"Input NGO berkaitan salah tadbir dan salah laku dalam perkhidmatan awam, khususnya yang melibatkan agensi penguatkuasaan, membantu EAIC mengenal pasti langkah-langkah lebih berkesan dan realistik, termasuk usaha memperbaiki kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sesi dialog Suara NGO Bersama Pengerusi EAIC mengenai Tadbir Urus dan Integriti di Menara Usahawan, Putrajaya, pada Selasa.

Turut hadir, wakil NGO termasuk Pertubuhan Integriti dan Governans Malaysia (MIG), Malaysia Corruption Watch (MCW), Rasuah Busters, Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING) dan Transparency International Malaysia (TI-Malaysia).

Iklan

Dalam sesi dialog tersebut, wakil NGO berpandangan bahawa EAIC wajar terus diperkasakan sebagai benteng terakhir kepercayaan rakyat dalam memastikan akauntabiliti dan integriti agensi penguatkuasaan sentiasa terpelihara.

NGO turut mencadangkan agar hubungan kerajaan dan masyarakat diperkukuh melalui konsep Open Government Relationship, termasuk pengiktirafan NGO berkelayakan sebagai rakan strategik kerajaan dalam agenda integriti dan pembaharuan tadbir urus.

Selain itu, NGO membangkitkan beberapa cabaran pelaksanaan agenda integriti seperti tekanan dan agenda politik yang boleh menjejaskan siasatan serta tindakan penguatkuasaan, dan kegagalan sistem pemberi maklumat.

Campur tangan politik dan kekangan terhadap kebebasan institusi turut dilihat melemahkan keberkesanan penguatkuasaan dalam memperkukuh integriti.

Menurut Ismail, selaku Ketua Peneraju Grup Fokus Penguatkuasaan di bawah Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI), EAIC akan terus bekerjasama dengan NGO bagi mengenal pasti langkah-langkah berkesan dalam menangani salah tadbir dan salah laku, serta memperkukuh pengawasan dan siasatan.

"Kerjasama berterusan ini diharapkan dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi awam yang telus, berintegriti dan dipercayai," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia – Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, perbincangan tersebut merupakan satu langkah progresif yang membuka ruang dialog dua hala antara EAIC dan masyarakat sivil, sekali gus membolehkan perkongsian pandangan dan maklum balas secara terbuka dan konstruktif.

Menurut Nurhayati, sesi berkenaan turut menyentuh persediaan semua pihak terhadap penubuhan Ombudsman Malaysia yang dijangka menjadi satu lagi instrumen penting dalam menangani isu tadbir urus, salah pentadbiran dan salah laku.

“Perbincangan ini memberi peluang kepada NGO untuk mendapatkan perkembangan terkini daripada EAIC, di samping berkongsi idea bagaimana EAIC boleh diperkasakan melalui kolaborasi strategik bersama NGO.

“Keterlibatan masyarakat sivil ini penting sebagai satu mekanisme sokongan untuk memperkukuh agenda integriti dan antirasuah dalam agensi-agensi di bawah seliaan EAIC,” katanya.

Tambah beliau, usaha memperkukuh integriti tidak boleh digalas oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan penglibatan empat entiti utama iaitu EAIC, NGO, agensi penguatkuasaan dan orang awam.

“Keempat-empat entiti ini memainkan peranan yang amat penting untuk memastikan objektif peningkatan integriti dan kawalan terhadap salah pentadbiran serta salah laku dapat dicapai melalui kerjasama yang bersepadu.”

Beliau menyifatkan inisiatif tersebut sebagai satu peluang bersama untuk melaksanakan peranan masing-masing berdasarkan kapasiti, risiko dan misi yang berbeza namun berpaksikan objektif bersama yang selari.

“Usaha sebegini perlu diberi sokongan penuh di semua peringkat. Ia bukan sekadar untuk menangani persepsi, tetapi untuk mewujudkan realiti Malaysia yang benar-benar bersih daripada rasuah, dengan rakyat yang memahami tanggungjawab bersama dalam memerangi musuh negara ini,” katanya.