PEPATAH Arab menyatakan, ‘Ilmu tanpa amalan ibarat pohon yang tidak berbuah’ yang membawa maksud sebesar mana pun sesuatu pokok itu, ia tetap tidak dapat memberikan manfaat sekiranya tidak menghasilkan atau mengeluarkan buah.
Begitulah juga perumpamaannya dengan ilmu, sehebat atau setinggi mana ilmu seseorang itu, tetapi jika tidak diamalkan atau dikongsikan samalah dia seperti pohon yang tidak berbuah.
Berbicara mengenai ilmu, pendakwah Ustaz Mohammad Nasrullah Che Hamid menjelaskan, seseorang yang mempunyai ilmu dan diiktiraf pula oleh institusinya, dia perlulah menyebarkan ilmunya dengan kadar yang dia yakini kesahihan ilmu tersebut.
Jelasnya, ia sesuai dengan jawapan Imam Ahmad ketika ditanya mengenai apakah yang perlu diniatkan oleh penuntut ilmu? Beliau menjawab:
"Berniat untuk mengangkat kejahilan pada diri, kemudian kejahilan pada orang lain (dengan mengajarkan ilmunya).”
Tambahnya, menyebarkan ilmu yang dipelajari termasuk dalam perihal zakat ilmu.
"Apatah lagi jika kos pembelajarannya ditanggung oleh wang zakat dan sumbangan awam.
"Maka lebih aula (utama) untuknya menyebarkan ilmu sekadar apa yang dia dapati walau dengan apa wasilah (cara) sekalipun,” jelasnya.
Ustaz Mohammad Nasrullah turut mengingatkan bahawa penyakit menyembunyikan ilmu adalah perkara yang amat merugikan umat Islam itu sendiri.
"Abd Ar-Rahman Ibnu Ahmad Ibnu Rajab pernah memberikan pandangan dalam isu ini.
"Sehingga seluruh makhluk di bumi terkena musibah dan binasa disebabkan dosa-dosa anak Adam. Maka binatang-binatang melaknat mereka yang menjadi penyebab akan perkara tersebut,” jelasnya seperti dipetik dalam kitab Majmu’ ar-Rasail.
Ujarnya, maka inilah tugasan ilmuwan iaitu menggerakkan dakwah dengan pelbagai cara termasuk penulisan, syarahan atau apa-apa sahaja saluran yang dibenarkan agama.