ALOR SETAR - Negara tidak terburu-buru mengejar status negara maju, sebaliknya pencapaian negara membolehkan Malaysia menjurus ke arah sasaran itu menjelang tahun 2028 hingga 2029.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, negara kini berada di landasan tepat disebabkan beberapa faktor termasuk unjuran ekonomi yang semakin baik.
Menurutnya, berdasarkan kepada pertumbuhan ekonomi positif, minat pelabur antarabangsa serta kedudukan negara yang dilihat sebagai pintu masuk terbaik ke negara ASEAN, ia bukanlah sesuatu yang mustahil.
"Dasar kerajaan sekarang bukan kejar menjadi negara maju, pertumbuhan ekonomi negara pada tahun lalu mencatatkan 5.1 peratus. Jika ia berterusan pada kadar 4.5 peratus ke atas untuk beberapa tahun akan datang, secara automatik menjadikan kita negara maju,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan sesi libat urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi Negeri Kedah di Seri Mentaloon pada Isnin.
Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Rafizi berkata, sekiranya kesemua faktor-faktor yang dijangka dapat mendorong ke arah pertumbuhan ekonomi kekal seperti sedia ada, sasaran tersebut mampu dicapai.
"Sasaran itu berdasarkan unjuran sekarang, minat pelabur serta angka pelaburan langsung asing (FDI) dalam pertumbuhan ekonomi.
"Namun Malaysia merupakan negara dagang terbuka yang akan terkesan terhadap apa yang berlaku di seluruh dunia. Contohnya, pertukaran kepimpinan di White House atau apa sahaja gangguan yang berlaku di dunia luar,” ujarnya.
Menurutnya lagi, disebabkan itu, Kementerian Ekonomi memberi tumpuan kepada usaha membina asas dan infrastruktur dalam masyarakat agar kedudukan negara kukuh bagi mengurangkan kesan luaran.
"Sebab itu dalam RMK13, kita pastikan perancangan negara seimbang dalam semua perkara. Kita tidak mahu fokus semata-mata kepada kemajuan fizikal atau ekonomi, sebaliknya pastikan kemampanan sistem sosial seperti kesihatan, pendidikan dan penjagaan.
"Oleh itu, jika berlaku keadaan luar jangka (dunia), kesannya dapat kita tangani dengan baik di dalam negara,” katanya.
Rafizi berkata, pada masa sama negara hanya perlu memperbetulkan dan mengukuhkan landasan agar perancangan tersebut memberi kesan positif.
Beliau mengulas kenyataan penganalisis ekonomi, Dr Mohd Azwardi Md Isa baru-baru ini yang dilaporkan berkata, negara tidak perlu terburu-buru mengejar status negara maju sebelum berjaya mengimbangi beberapa faktor penting yang boleh dijadikan kayu pengukur sebenar.
Terdahulu, dalam ucapannya, Rafizi berkata, sudah tiba masanya Malaysia berubah ke satu tahap lagi untuk memiliki dan membangun dalam ekonomi berasaskan teknologi, digital dan data.
"Perkara penting untuk menjadi negara maju bukan sekadar angka. Ia melibatkan disiplin dalam perancangan sederhana dan jangka panjang yang dapat membantu dalam proses pembuatan keputusan oleh kerajaan.
"Kebanyakan negara maju menghadapi masalah bergerak ke hadapan disebabkan tiada perancangan lima tahun untuk negara dan rakyat bagi melindungi dari sebarang risiko perubahan dasar, strategi serta inisiatif,” katanya.
Menurutnya, RMK13 akan menjadi rancangan terpenting yang akan memposisikan negara sebagai negara maju dalam menyediakan landasan penting selain mewujudkan masyarakat maju.
"Ia libatkan proses pemikiran kreatif, inovatif dan luar kotak untuk hasilkan idea-idea baharu dan penyelesaian unik. Proses dinamik ini menggalakkan kita melihat sesuatu perkara dari pandangan berbeza bagi menghasilkan idea lebih radikal,” katanya.
Rafizi tegaskan, Malaysia juga perlu menjadi kuasa penggunaan, yang mana ekonominya didokong rakyat tempatan kerana ia menjadi penentu jangka panjang selain kadar pertumbuhan yang dapat memperkasakan lebih banyak perniagaan tempatan menyertai rantaian global.
"Dengan meningkatkan permintaan domestik, akan bermula kitaran ekonomi positif dalam negara, perkembangan ini membantu kerajaan fokus dalam membina infrastruktur.
"Kita mahu wujudkan masyarakat produktif bagi membendung pengaliran bakat ke negara lain, seterusnya membentuk ekonomi berdaya tahan terhadap turun naik dalam pasaran global, pertikaian perdagangan dan geopolitik,” katanya.