JOHOR BAHRU - Tindakan dua lelaki melarikan diri kerana bimbang ditahan polis hanya sia-sia apabila mereka berjaya diberkas setelah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas 20 minit kemudian.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kejadian berlaku pada jam 8.35 malam Jumaat ketika polis melaksanakan Op Cegah Jenayah di Jalan Harmonium, Taman Desa Tebrau di sini.
"Ketika anggota kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan sedang melaksanakan Op Cegah Jenayah itu, sebuah kereta jenis Mitsubishi Lancer berwarna merah didapati memandu dalam keadaan yang mencurigakan.
"Malah, ketika diarahkan untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan, suspek bertindak melarikan diri dengan memandu secara melulu dan berbahaya melalui Jalan Harmonium, Jalan Badik, Jalan Tebrau hingga ke susur keluar pekan Ulu Tiram.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek bertindak melarikan diri akibat panik kerana masih dalam pengaruh dadah, memandu tanpa lesen yang sah dan cukai jalan tamat tempoh selain menggunakan kereta dengan nombor pendaftaran palsu.
Siasatan lanjut, katanya, pemandu kereta berusia 24 tahun dan bekerja sebagai buruh itu mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah sementara penumpang berusia 28 tahun yang juga bekerja sebagai buruh tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.
Hasil ujian air kencing pula mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine.
Selain itu, pemeriksaan ke atas casis kenderaan mendapati kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu, cukai jalan telah tamat tempoh dan pemandu tiada lesen memandu yang sah.
Kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara memandu dan berbahaya, Seksyen 108(3)(e) APJ 1987 iaitu menggunakan nombor pendaftaran palsu, Seksyen 26(1) APJ 1987 kerana tiada lesen memandu, Seksyen 23(1) APJ 1987 (tiada cukai jalan), Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam menjalankan tugas) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (penyalahgunaan dadah).