KUALA NERUS - Seorang pesara terharu dan bersyukur apabila ada insan berhati mulia telah membantu menyelamatkan banglo mewah miliknya di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini daripada terus lenyap akibat dibadai ombak besar.
Mohd Yazit Idris, 66, berkata, individu yang tidak ingin dikenali itu telah menghantar 10 lori membawa muatan batu dan pasir ke rumahnya sejak beberapa hari lalu demi menyelamatkan kediaman yang menjadi lambang cinta terhadap arwah isterinya, Siti Rashiddah Mohd Yunos, 66.
"Alhamdulillah, saya sangat terharu kepada insan tersebut kerana bantuan diberikan itu banyak membantu memastikan kediaman ini kekal kukuh dan tidak lenyap akibat dibadai ombak besar.
"Sebanyak 10 lori membawa muatan batu dan pasir dihantar untuk menjalankan kerja-kerja membina benteng sementara bagi menghalang ombak besar daripada terus membadai kediaman ini.
"Terima kasih tidak terhingga kepada insan berhati mulia tersebut. Dia juga berpesan supaya tidak menguar-uarkan bantuan yang diberikan kerana ia dilakukan secara ikhlas tanpa memerlukan sebarang publisiti atau mengejar nama," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Warga emas berasal dari Puchong, Selangor itu berkata, ketika ini, benteng sementara sedang dibina di kediaman itu sebelum kerja-kerja selanjutnya dilaksanakan pihak berwajib selepas Mac depan.
"Sekarang kerja-kerja membina benteng sementara sedang dijalankan. Memandangkan keadaan sekarang ombak kuat terutama pada waktu puncak ketika lewat petang sehingga ke tengah malam.
"Jadi dengan adanya bantuan berpuluh lori batu dan pasir yang dihantar ke rumah ini telah banyak membantu bagi memastikan rumah ini kekal bertahan," ujarnya.
Ujar Mohd Yazit lagi, bantuan serta kerja-kerja pembinaan benteng ini menelan anggaran kos sebanyak RM100,000.
"Jumlah kos itu sangat besar dan saya sangat bersyukur kerana ada insan berhati mulia yang datang membantu memberi bantuan seperti ini.
"Syukur pada ALLAH SWT kerana hadirkan orang yang membantu ketika berada dalam kesukaran dan saya sudah berusaha sehabis boleh serta berserah segalanya kepada ALLAH SWT.
"Terima kasih kepada insan mulia tersebut selain ahli keluarga, kawan-kawan dan semua pihak yang membantu bagi memastikan satu-satunya kediaman yang merupakan kenangan indah bersama arwah isteri ini tetap kekal sehingga akhir hayat," katanya.
Kisah banglo mewah milik Mohd Yazit yang dikhuatiri musnah akibat fenomena hakisan tular di media sosial selepas mendapat liputan Sinar Harian pada 10 Januari lalu.
Mohd Yazit ketika itu buntu memikirkan langkah perlu diambil apabila kediaman dibina hasil wang persaraannya hampir runtuh.
Katanya, rumah dibina di atas tanah itu kini menunggu masa roboh selepas dilanda ombak besar pada 4 Januari lalu.