KUALA TERENGGANU - Seorang pekerja di sebuah pelantar minyak mengalami kerugian sebanyak
RM48,905.41 selepas menjadi mangsa skim pelaburan tidak wujud dalam aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 51 tahun itu telah menerima mesej menerusi WhatsApp daripada seorang wanita dikenali sebagai Nora yang menawarkan pelaburan dengan pulangan keuntungan lumayan pada 3 Januari lalu.
"Mangsa telah tertarik dengan tawaran tersebut iaitu pelan pelaburan yang menawarkan modal serendah RM400 dengan mendapat keuntungan berjumlah RM5,890 dalam tempoh enam jam hingga 24 jam.
"Mangsa yang berminat telah dimasukkan dalam sebuah grup WhatsApp yang disertai lima peserta lain. Kemudian mangsa dimaklumkan bahawa pelaburan itu telah mendapat pulangan keuntungan dan lelaki berkenaan diminta membuat pembayaran bagi mendapatkan pulangan keuntungan tersebut.
"Akibat percaya terhadap pelaburan itu, mangsa telah melakukan sembilan kali bayaran berjumlah RM48,905.41 dengan menggunakan wang simpanannya ke tujuh akaun bank yang berbeza," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, sehingga kini mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan selepas pembayaran telah dibuat.
Tambah Azli, mangsa yang berasa tertipu telah membuat laporan polis pada Sabtu lalu.
"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.