Aktivis dakwa dilayan kasar ketika ditahan di IPD Gombak

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung isu perobohan kuil tidak sah di Taman Rawang Perdana.

SHAH ALAM - Aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak mendakwa beliau dilayan seperti binatang dan dibogelkan sebelum diberi baju lokap ketika ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berhubung isu perobohan kuil tidak sah di Taman Rawang Perdana.

Tamim Dahri berkata, layanan yang diterimanya di sana lebih kasar berbanding pengalaman terdahulu di lokap Dang Wangi, malah beliau dibentak-bentak seperti seorang pesalah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau dan rakan-rakan membuat laporan polis selepas dikepung oleh sekumpulan lelaki India yang bersenjatakan kayu atau batang besi.

"Bagaimanapun, pihak yang mengepung dan mengancam kami pula tidak ditahan. Ketika dalam tahanan, kami dibogelkan sebelum diberikan baju lokap di hadapan anggota.

Iklan

"Ketua lokap juga melayan kami sama seperti penjenayah lain. Saya tidak faham mengapa perlu melayani kami seperti binatang. Apabila saya meminta al-Quran, mereka tidak memberikannya dengan alasan tempat itu kotor.

"Mereka tahu tempat itu kotor tetapi sengaja dibiarkan kotor. Kepada cikgu-cikgu lokap yang menguruskan kami, bertakwalah kamu semua kepada ALLAH," kongsinya menerusi laman Facebook pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, Tamim Dahri bersama tiga rakannya ditahan bagi membantu siasatan berhubung kerja-kerja pembersihan tanah yang dijalankan di sebuah kuil di Taman Rawang Perdana.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat, Seksyen 504 kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat mencetuskan pecah keamanan serta Seksyen 295 kerana mencemarkan tempat ibadat.

Sebelum ini, media diberitahu kawasan tersebut merupakan tanah milik yayasan yang telah diceroboh sejak 2018 dan perobohan dibuat bagi memberi laluan kepada projek pembinaan rumah asnaf.

Mengulas lanjut, Tamim Dahri memberitahu mereka dibawa ke sel yang dipenuhi 26 tahanan dengan ruang tidur dan solat yang sangat berdekatan dengan tandas.

Jelasnya, tandas tanpa pintu dengan bau hancing dan busuk serta gelagat tahanan lain yang mandi secara terbuka agak asing bagi mereka berempat.

"Kami hanya bersolat di depan tandas terbuka itu, semoga ALLAH menerimanya. Saya doakan semoga ALLAH memberi hidayah kepada anggota-anggota polis yang menzalimi kami.

"Ada antara kami yang terpengsan mungkin kerana kepenatan. Saya meminta cikgu lokap untuk memeriksa, tetapi mereka membentak dengan kasar dan menyuruh makan.

"Saya cuma risau jika berlaku perkara yang tidak diingini terhadapnya," ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa penahanan itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus memperjuangkan isu tersebut.

Tegasnya, hanya dengan terpisahnya roh daripada jasad, barulah perjuangan itu akan berhenti selamanya.

"Moga lahir lebih ramai yang menyambung perjuangan. Terima kasih kepada semua yang menyokong saya.

"Tiada apa yang saya harapkan melainkan hanya doa daripada kalian semua. Insya-ALLAH, saya akan terus melangkah, tiada siapa boleh menghalang selain ALLAH," katanya.