KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Tiga sahabat termasuk seorang warga emas yang maut apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki dihanyutkan arus deras dalam kawasan ladang YPJP di Ulu Sedili di sini pada Sabtu, bukannya mangsa korban banjir, tetapi merupakan mangsa kemalangan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, insiden pada jam 3.35 petang itu melibatkan dua kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser yang dinaiki ketiga-tiga mangsa dan Toyota Hilux yang dinaiki dua lagi rakan mereka.
"Ketika di lokasi, Toyota Land Cruiser telah terbabas dan dihanyutkan arus deras dalam ladang tersebut sebelum terbenam dalam lumpur berhampiran parit.
"Semasa proses penarikan, Toyota Land Cruiser telah termasuk ke dalam parit dan terus ditenggelami air dengan keadaan arus yang deras.
"Ketika kejadian dua rakan mangsa bertindak keluar dari Toyota Hilux dan cuba menyelamatkan ketiga-tiga mangsa dengan memecahkan tingkap di sebelah kiri serta hadapan dan mereka berjaya mengeluarkan salah seorang daripada tiga mangsa yang dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, mereka meneruskan usaha menyelamatkan dua lagi mangsa dalam Toyota Land Cruiser itu tetapi tidak berjaya kerana terperangkap dalam kenderaan yang telah dimasuki air.
Bagaimanapun rakan mangsa telah mendapatkan bantuan daripada seorang pekerja ladang YPJP Sedeli dan dibawa ke pos pengawal seterusnya menghubungi pihak bomba.
Pada masa sama katanya, Pegawai Perubatan Hospital Kota Tinggi yang tiba ke lokasi kejadian mengesahkan mangsa pertama telah meninggal dunia.
Usaha mencari dua lagi mangsa diteruskan dengan penglibatan 42 pasukan keselamatan dan pihak pengurusan ladang seawal jam 6.10 petang Sabtu.
"Kedua-dua mangsa ditemui terperangkap dalam Toyata Land Cruiser telah berjaya dibawa naik ke darat masing-masing pada jam 11.07 malam dan 12.14 tengah malam.
Kesemua mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi bagi tujuan bedah siasat dan tindakan lanjut.
Tambah beliau, kes diklasifikasi di bawah Laporan Mati Mengejut (LMM).
Seorang maut, dua cedera nahas dua kenderaan
Sementara itu di JOHOR BAHRU, seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 28.7 Lebuhraya Senai – Desaru di sini pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Sohaimi Ishak, kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 2.30 petang.
Kenderaan salah satu kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan. Foto ihsan JBPM
"Siasatan mendapati kereta jenis Volkswagen Polo HB yang dinaiki dua lelaki warga tempatan dalam perjalanan dari Kangkar Pulai menghala ke Felda Air Tawar 4.
"Setibanya di lokasi, pemandu hilang kawalan sehingga kereta yang dipandu berpusing dan terlanggar bahagian belakang sebuah lori jenis Isuzu (lori Ligid-Kargo AM) yang berhenti di bahu jalan untuk melakukan kerja-kerja pembaikan besi penghadang jalan.
"Akibat perlanggaran itu, penumpang kereta, seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi menakala dua lagi lelaki warga tempatan iaitu pemandu kereta dan seorang pekerja mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi menerima rawatan,” katanya.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dengan melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian.
Orang ramai yang memiliki sebarang maklumat mengenai kejadian boleh menyalurkannya kepada pihak polis di talian 07-3864222 bagi membantu siasatan.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan kod lalulintas serta memandu kenderaan dengan berhati-hati terutamanya ketika cuaca hujan dan jalan licin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengurangkan kelajuan dan elakkan brek kenderaan secara tiba-tiba selain menjaga jarak selamat antara kenderaan.