SHAH ALAM - Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam pertanian tropika telah bekerjasama dengan Jepun dalam usaha membangunkan sektor itu di Palestin.
Pensyarah kanan di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Azrul Azlan Abdul Rahman berkata, Jepun telah memainkan peranan utama dalam menggerakkan negara-negara Asia Timur untuk memberikan bantuan kepada Palestin termasuk dalam bidang pertanian dan pembangunan kapasiti.
Menurutnya, sejak persidangan mengenai Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) dilancarkan pada 2013, kedua-dua negara komited menggunakan platform berkenaan bagi menyumbang kepada penstabilan situasi di Asia Barat.
"Jepun menunjukkan minat dalam mengetuai inisiatif berkaitan Palestin sebagai sebahagian daripada usaha diplomatiknya untuk mempromosikan keamanan dan kestabilan di Asia Barat.
"Dengan memberikan bantuan kemanusiaan dan sokongan pembangunan, Jepun berusaha memainkan peranan konstruktif dalam menyelesaikan konflik dan meningkatkan kesejahteraan di rantau tersebut.
"Sejak 7 Oktober 2023, Jepun telah memberikan bantuan kemanusiaan berjumlah kira-kira AS$230 juta kepada rakyat Palestin, menunjukkan komitmennya terhadap isu ini," katanya kepada Sinar Ahad.
Sebelum ini, Malaysia menyokong inisiatif Jepun untuk menjadi pengerusi bersama persidangan mengenai CEAPAD pada Julai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif yang membabitkan isu pembangunan semula Gaza dan Palestin sangat bermakna bagi Malaysia.
Mengulas lanjut Azrul Azlan berkata, negara-negara Asia Timur termasuk Jepun dan Malaysia telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan ekonomi dan teknikal kepada Palestin melalui CEAPAD.
Ujarnya lagi, melalui CEAPAD juga negara-negara Asia Timur berusaha untuk memberikan sokongan komprehensif kepada Palestin dengan menekankan pembangunan ekonomi dan peningkatan kesejahteraan rakyatnya.