KUALA LUMPUR - Malaysia dijangka berdepan banjir gelombang kedua bermula Ahad hingga 14 Disember ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dengan Pahang dan Johor antara negeri dijangka turut terjejas dengan bencana tersebut kali ini.
"Pada kali ini (gelombang kedua) mungkin akan melibatkan negeri Pahang dan Johor dengan lebih berat lagi, namun kesiapsiagaan melalui pengagihan perkhidmatan untuk aset, pegawai dan anggota serta peralatan telah mula diatur gerak.
"Apa yang penting ialah kerjasama daripada NGO (badan bukan kerajaan) kali ini luar biasa untuk menyantuni pembersihan pasca banjir dan diharapkan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) akan melakukan penyelarasan terhadap usaha ini di seluruh negara," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Skuad Misi Bantuan Banjir sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Barisan Nasional (BN), di sini pada Sabtu.
Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menyempurnakan acara pelepasan misi bantuan melibatkan 1,000 pek bantuan keperluan asas yang dihantar ke lima lokasi terjejas akibat banjir terutama di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Skuad yang terdiri daripada 400 sukarelawan termasuk 100 pelajar dari UMNO Siswa turut dibantu Pemuda, Wanita, dan Puteri BN.
Misi berkenaan melibatkan pelbagai bentuk logistik, termasuk tujuh buah kenderaan pacuan empat roda, dua van, 15 lori dan sebuah treler yang membawa barang-barang keperluan seperti makanan, minuman, pakaian, dan peralatan kebersihan.
Mengulas mengenai misi bantuan banjir itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, ia merupakan bukti gabungan parti itu melakukan kerja tidak bermusim menerusi khidmat bantuan kepada masyarakat sepanjang masa tanpa mengira ketika bencana atau pilihan raya.
"Ramai orang tolong sebelum dan ketika banjir, tetapi tidak ramai yang bantu selepas banjir, maka keprihatinan dan pertolongan BN selepas banjir menunjukkan bantuan kita salurkan tidak bermusim.
"Kita mempunyai perangkaan keseluruhan mangsa banjir yang telah disantuni iaitu seramai 222,000 orang. Kita tetap menyantuni rakyat secara keseluruhannya," ujarnya.