Kastam Terengganu sita kenderaan mikromobiliti bernilai lebih RM700,000

Iklan
Mohd Nadzri (kanan) menunjukkan kenderaan mikromobiliti yang disita.

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu menyita kenderaan mikromobiliti termasuk cukai berjumlah RM708,082.60 dalam dua serbuan secara serentak di dua premis perniagaan di sini pada Khamis.

Pengarah JKDM Terengganu, Mohd Nadzri Ariffin berkata, serbuan itu dijalankan oleh pasukan operasi bahagian penguatkuasaan JKDM Terengganu kira-kira jam 11 pagi.

Iklan
Iklan

"Pasukan telah melakukan serbuan di dua premis perniagaan yang berpusat di Kuala Terengganu kerana disyaki memiliki barang larangan import iaitu kenderaan mikromobiliti seperti 'moped bike', basikal kuasa elektrik dan 'personal mobilitiy device' (PMD) kuasa elektrik.

"Semakan awal terhadap dokumen pembelian dan pengimportan yang dikemukakan ketika serbuan mendapati terdapat syak munasabah bahawa kesemua kenderaan ini telah diseludup masuk ke dalam negara," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan Kastam di sini pada Ahad.

Iklan
Mohd Nadzri (dua dari kanan) ketika sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan Kastam, Kuala Terengganu pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohd Nadzri berkata, hasil serbuan di lokasi pertama telah menyita 130 unit kenderaan mikromobiliti yang dianggarkan nilai pasaran berjumlah RM346,200 dan melibatkan cukai sebanyak RM252,726.

Beliau memaklumkan, di lokasi kedua pula sejumlah 17 unit kenderaan mikromobiliti yang dianggarkan nilai pasaran berjumlah RM64,088 dan cukai sebanyak RM45,068.60 telah disita.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Nadzri berkata, pemilik perniagaan premis pertama dan kedua masing-masing berusia 39 dan 37 tahun turut ditahan bagi tujuan siasatan namun kemudian dilepaskan dengan jaminan JKDM.

"Modus operandi yang dilakukan oleh pihak sindiket dengan membawa masuk kenderaan mikromobiliti secara komponen tercerai ke dalam negara dengan melakukan ikrar palsu ketika proses pengimportan.

"Komponen-komponen ini kemudiannya akan dilakukan pemasangan di gudang sebelum diedarkan kepada penjual di seluruh negara.

"Pihak sindiket mengemukakan kelulusan permit import terhadap penghantaran terdahulu yang pernah dibawa masuk bagi tujuan meyakinkan pembeli akhir," jelasnya.

Mohd Nadzri (tengah) menunjukkan antara kenderaan mikromobiliti yang disita.

Mohd Nadzri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 di mana jika disabitkan kesalahan kali pertama boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih besar.

Selain itu, katanya boleh dikenakan denda tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Justeru, Mohd Nadzri menasihatkan orang ramai supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain barang tidak berkastam, selain membantu pihak JKDM memerangi jenayah tersebut.