Polis siasat pelaku sebar rakaman CCTV Faisal Halim disimbah asid

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Khamis. (Kanan: Hussein)

SHAH ALAM - Polis menyiasat pihak yang menyebarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membabitkan kejadian simbah asid terhadap pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah mengesan satu video berdurasi 56 saat di laman sosial X @OneFootballM pada Khamis.

Iklan
Iklan

"Video terbabit merupakan bahan bukti yang masih dalam siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Siasatan telah dimulakan bagi mengesan pihak yang menyebarkan video rakaman CCTV tersebut untuk tindakan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, orang ramai diingatkan untuk tidak menyebarkan video terbabit bagi menghormati dan menjaga sensitiviti mangsa serta keluarga.

Tegas Hussein, pihak polis memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang sengaja menyebarkan video itu.

Iklan

Rakaman yang tular itu menunjukkan seorang lelaki yang memakai topi dan bahagian muka dilindungi kain dalam keadaan berdiri berada di antara beberapa kenderaan lain.

Lelaki itu kemudian meluru ke arah Faisal dan terus menyimbah cecair daripada botol dipegangnya beberapa kali.

Kejadian itu juga disaksikan beberapa individu berhampiran selain wanita dipercayai isteri Faisal.

Ketika kejadian, turut dilihat seorang lelaki bermotosikal dipercayai seorang lagi suspek yang menunggu berhampiran kenderaan Faisal.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!