'Kita jumpa dalam dewan' - Mohd Fadzli

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Mohd Fadzli

KUANTAN - Kenyataan pemimpin pembangkang mengenai isu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini memperlihatkan mereka kurang memahami proses meluluskan usul untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi melantik lima ADUN tanpa melalui proses pilihan raya, pada 2020.

ADUN lantikan, Mohd Fadzli Mohd Ramly berpendapat, pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang tidak sepatutnya membuat banyak kenyataan kepada media mengenai isu tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan mereka memberikan komen kepada media seolah-olah bercakap tanpa melakukan penyelidikan yang mendalam.

"Tak perlu cakap banyak dalam media seperti bercakap dengan cermin. Cermin dulu pada diri sendiri, apa yang mereka buat untuk kawasan mereka. Tiada lain selain merengek minta peruntukan.

Iklan

"Tunggu sidang dewan (DUN), kita lawan satu lawan satu!" katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan dakwaan daripada pembangkang yang menyifatkan ADUN Lantikan hanya berdasarkan politik semata-mata.

Iklan

ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaluddin, menyatakan bahawa kewujudan ADUN Lantikan sebenarnya tidak berfungsi dan tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Jasri menegaskan bahawa pelantikan itu lebih berlandaskan kepentingan politik daripada memenuhi keperluan masyarakat.

Senada dengan itu, ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus berpendapat, kerajaan Pahang gagal mengotakan janji bahawa lantikan tersebut akan mewakili kelompok tertentu seperti Orang Asli, orang kurang upaya (OKU), dan golongan profesional tanpa membabitkan fahaman politik.

Mohd Yazid menambah bahawa lebih mengecewakan apabila kerajaan Pahang menyatakan bahawa ADUN Lantikan itu bukan daripada kalangan politik, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Mengulas lanjut, Mohd Fadzli berkata, pemimpin Bersatu seharusnya bertanyakan kepada rakan parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas yang berada dalam sidang DUN mengenai perkara itu.

Beliau menekankan bahawa semasa Pindaan Perkara 18 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang diluluskan, ia dilakukan atas dasar perbincangan dan persetujuan bersama, tanpa bantahan termasuk oleh rakan mereka dalam PN.

"ADUN lantikan juga dibuat di Terengganu yang tiada kawasan dan di Sabah juga melibatkan pemimpin politik Pas.

"Nampak benar ADUN Bersatu ini tidak buat kerja rumah dan tidak bersedia untuk bercakap kepada media," katanya.

Pada 13 Mei lalu, lima nama ADUN lantikan diumumkan iaitu Pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qadri; Ketua MCA Bahagian Temerloh, Datuk Wong Tat Chee dan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah.

Turut dilantik Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang, Mohd Fadzli dan Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Rizal Jamin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!