Imbangan akaun semasa Malaysia melonjak kepada RM16.2 bilion pada suku pertama

Iklan
Foto hiasan

LEBIHAN imbangan akaun semasa (CAB) Malaysia meningkat kepada RM16.2 bilion, bersamaan dengan 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2024 (S1 2024) terutamanya didorong oleh akaun pendapatan dan barangan.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) berkata, akaun kewangan merekodkan aliran keluar bersih RM18.7 bilion, terutamanya dalam pelaburan portfolio dan pelaburan langsung.

Iklan
Iklan

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, akaun pendapatan menyumbang kepada lebihan CAB yang lebih tinggi pada suku pertama 2024.

"Akaun pendapatan utama mencatatkan defisit yang lebih kecil iaitu RM8.8 bilion berbanding RM20.3 bilion dari suku sebelumnya.

Iklan

"Penurunan ini hasil daripada terimaan yang lebih tinggi sebanyak RM28.4 bilion, terutamanya didorong oleh pelaburan lain disebabkan peningkatan dalam pendapatan pelaburan yang dijana di luar negara.

"Pada masa yang sama, bayaran menurun kepada RM37.2 bilion terutamanya daripada pelaburan langsung memandangkan pelabur asing di Malaysia memperoleh pendapatan yang lebih rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Sementara itu, beliau berkata, akaun pendapatan sekunder mencatatkan lebihan RM0.3 bilion pada S1 2024 daripada defisit RM2.2 bilion pada suku sebelumnya berikutan terimaan kiriman wang pekerja dan pindahan dari luar negara yang lebih tinggi.

Mohd Uzir berkata, lebihan CAB yang lebih tinggi itu turut disokong oleh peningkatan dalam eksport bersih akaun barangan berjumlah RM32.0 bilion.

"Eksport barangan bernilai RM272.2 bilion berbanding RM275.9 bilion pada suku sebelumnya,” katanya sambil menambah import barangan merosot sebanyak 2.0 peratus suku ke suku kepada RM240.2 bilion.

Berkenaan perdagangan perkhidmatan, beliau berkata akaun perkhidmatan mencatatkan defisit yang lebih rendah sebanyak RM7.3 bilion berbanding RM7.4 bilion pada suku sebelumnya.

Mohd Uzir berkata, akaun kewangan pada S1 2024 merekodkan aliran keluar bersih RM18.7 bilion berbanding RM20.1 bilion pada suku sebelumnya.

Menurut Jabatan Perangkaan, pelaburan langsung asing (FDI) merekodkan aliran masuk yang lebih rendah sebanyak RM5.5 bilion berbanding RM19.6 bilion pada suku sebelumnya disebabkan suntikan ekuiti yang lebih rendah dan perubahan arah dalam instrumen hutang.

"Aliran masuk FDI terutamanya disalurkan kepada perkhidmatan, khususnya aktiviti maklumat dan kewangan, diikuti oleh sektor perlombongan dan kuari.

"Pada masa yang sama, pelaburan langsung di luar negara (DIA) oleh pelabur Malaysia juga mencatatkan aliran keluar bersih yang lebih rendah sebanyak RM11.5 bilion berbanding RM14.3 bilion pada suku sebelumnya,” katanya.

Pada akhir suku pertama 2024, Kedudukan Pelaburan Antarabangsa (IIP) Malaysia mencatatkan aset bersih yang lebih tinggi sebanyak RM157.1 bilion. Rizab antarabangsa Malaysia pula berjumlah RM538.9 bilion. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!