Inflasi Malaysia rekod peningkatan perlahan 2.5 peratus pada 2023

Iklan
Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Uzir)

KUALA LUMPUR - Inflasi Malaysia pada 2023 merekodkan peningkatan perlahan kepada 2.5 peratus daripada 3.3 peratus pada 2022 dengan mata indeks mencatatkan 130.4 berbanding 127.2 pada tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan perlahan inflasi pada 2023 itu adalah selari dengan penyusutan kebanyakan harga komoditi global, gangguan bekalan yang mereda, kawalan harga dan pemberian subsidi untuk barangan terpilih.

Iklan
Iklan

"Walaupun komoditi tenaga menunjukkan penyusutan pada 2023 (-29.9 peratus) berbanding 2022 (60.0 peratus), tahap harga komoditi ini masih lagi tinggi berbanding harga sebelum pandemik.

"Kenaikan kos bahan api dan kerbergantungan kepada gas asli cecair (LNG) yang diimport telah mendorong kerajaan untuk membuat pelarasan tarif elektrik di bawah pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) bagi pengguna di Semenanjung Malaysia untuk tempoh 1 Julai 2023 hingga 31 Disember 2023,” katanya.

Iklan

Mohd Uzir berkata inflasi bagi kumpulan utama pada 2023 menunjukkan peningkatan kecuali Komunikasi (-3.0 peratus) dengan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh restoran dan hotel sebanyak 5.6 peratus.

Ini diikuti oleh kumpulan makanan dan minuman (4.8 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.4 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (2.3 peratus); kesihatan (2.2 peratus); pendidikan (1.9 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.7 peratus); perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (1.5 peratus); pengangkutan (1.1 peratus); minuman alkohol dan tembakau (0.6 peratus) dan pakaian dan kasut (0.3 peratus)

Iklan

Beliau berkata kumpulan makanan dan minuman yang merupakan komponen terbesar dalam perbelanjaan isi rumah di Malaysia dengan sumbangan 29.5 peratus daripada wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) telah mula mereda kepada 4.8 peratus berbanding 5.8 peratus pada tahun sebelumnya.

Peningkatan perlahan bagi kumpulan ini sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh komponen makanan di rumah yang meningkat kepada 3.5 peratus berbanding 5.3 peratus yang dicatatkan pada 2022.

Sementara itu, makanan di luar rumah meningkat 6.7 peratus pada 2023 berbanding tahun 6.6 peratus pada 2022.

Mengulas mengenai inflasi di peringkat negeri, Mohd Uzir berkata kesemua negeri menunjukkan peningkatan inflasi yang perlahan di mana lima negeri melepasi paras inflasi nasional 2.5 peratus pada 2023.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.4 peratus), diikuti Sarawak (3.1 peratus), Selangor (2.9 peratus), Perak (2.8 peratus) dan Pahang (2.6 peratus).

Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan inflasi terendah pada 1.6 peratus. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!