Kes tukar agama: Mohd Na’im minta tenang, tidak beri ulasan jejas keharmonian

Iklan
Tangkap layar kenyataan Mohd Na'im pada Rabu. Mohd Na'im (kanan).

SHAH ALAM - Semua umat Islam dan rakyat Malaysia diminta bertenang serta tidak memberikan sebarang ulasan atau pandangan mengenai keputusan mahkamah berhubung status agama Islam tiga anak kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia berikutan dibimbangi akan mencetuskan suasana tidak sihat yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian dalam negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau percaya penghakiman yang dibuat berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan hakim Mahkamah Persekutuan berpandukan peruntukan perlembagaan Persekutuan serta undang-undang dalam mencari penyelesaian terbaik bagi maslahat semua pihak sama ada beragama Islam atau tidak.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah menolak permohonan kebenaran rayuan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Mufti Perlis dan Kerajaan Negeri Perlis.

Iklan

"Penolakan ini terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan pengislaman tiga anak Siew Hong berumur di bawah 18 tahun sebagai berperlembagaan.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut menjunjung kasih Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs kerana menzahirkan kebijaksanaan Tuanku dalam perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Mahkamah Persekutuan pada Selasa memutuskan tiga anak Siew Hong yang ditukar agama mereka secara unilateral (sebelah pihak) oleh bapa mereka kekal sebagai bukan Islam.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menafikan permohonan kebenaran rayuan oleh MAIPs dan tiga yang lain untuk mengembalikan penukaran agama unilateral pada 2020 itu oleh bapa mualaf mereka, Muhammad Nagahswaran Muniandy.

Justeru dengan keputusan itu, agama tiga kanak-kanak itu iaitu bagi pasangan kembar yang kini berusia 16 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun kekal sebagai Hindu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!