Polemik VAR di Liga-M

Iklan
Penggunaan VAR di Liga Malaysia juga telah mendapat restu daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

LIDAH PENGARANG

Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) yang sepatutnya melancarkan lagi pertandingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini telah mencetuskan perbahasan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Pada minggu pertama Liga-M sahaja, dua sistem VAR dilaporkan gagal berfungsi dalam tempoh kurang 24 jam pada saingan Liga Super.

Iklan
Iklan

Insiden pertama berlaku semasa aksi pembukaan Liga Super 2024/25 antara Sri Pahang dan Kelantan Darul Naim (KDN FC) di Temerloh pada Jumaat, sebelum insiden sama berulang pada pertemuan Sabah FC menentang Penang FC di Likas.Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad tidak banyak kompelin tetapi mengakui sedikit terkejut kerana VAR tidak dapat digunakan dalam perlawanan itu yang menyaksikan skuad Tok Gajah mengatasi KDN FC 1-0.

Bagi Datuk Ong Kim Swee pula, keputusan seri tanpa jaringan Sabah FC ketika melayan kunjungan Penang FC mungkin berubah sekiranya VAR dapat digunakan dalam perlawanan di Likas.

Iklan

Menurut pengendali Sang Badak itu, mereka mungkin mendapat sepakan penalti sekiranya insiden bola terkena tangan pemain lawan dapat disemak menerusi VAR.

Kedua-dua insiden itu menerima maklum balas berbentuk kritikan daripada peminat yang mempersoalkan kerelevanan VAR dalam Liga-M. Malah, ada segelintir peminat menuduh pentadbir Liga-M iaitu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terburu-buru melaksanakan VAR.

Iklan

MFL sebelum ini bertungkus-lumus menyiapkan teknologi penting itu bagi musim baharu Liga-M termasuklah perlawanan ujian VAR pada setiap venue. Difahamkan, mereka telah membelanjakan sekitar RM6 juta bagi membawa masuk teknologi VAR namun situasi luar jangkaan berlaku dalam dua aksi pertama musim ini.

Penggunaan VAR di Liga Malaysia juga telah mendapat restu daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Apa pun, diharap insiden serupa tidak berulang di minggu kedua Liga-M kerana sudah pasti MFL mempunyai jalan untuk memperbaiki masalah yang timbul.

Malah, Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan memaklumkan, masalah berkenaan sudah dijangka dari awal biarpun beberapa ujian sepanjang aksi pramusim dilihat berjaya tanpa sebarang masalah.

Jelasnya, semua pihak perlu memahami situasi dihadapi secara menyeluruh dan jangan terus menghukum kerana teknologi itu baru saja digunakan di negara ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!