KKM pertimbang beri vaksin influenza untuk warga emas

Iklan
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan untuk melaksanakan pemberian vaksin influenza terhadap warga emas.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya bercadang untuk memasukkan agenda itu di bawah Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP).

Iklan
Iklan

"Mungkin dalam bajet tahun 2025 atau seterusnya kita akan mohon," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Minggu Imunasasi Peringkat Kebangsaan di sini pada Isnin.

Menurutnya, pengambilan dos vaksin influenza akan memberi manfaat kepada golongan rentan.

Iklan

"Kita tahu dari segi manfaat dan keberkesanan terutamanya dari segi kumpulan rentan, warga emas.

"Saya akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan itu," jelas Dzulkefly.

Iklan

Beliau berkata, warga emas hanya perlu mengambil satu dos vaksin influenza setiap tahun.

"Dos ini perlu diambil setiap tahun kerana virus influenza ini bermutasi," ujarnya.

Sehingga kini, terdapat 40 buah negara telah melaksanakan vaksinasi influenza secara percuma kepada warga emas.

Populasi yang terdedah ini lebih berisiko mengalami radang paru-paru sebagai komplikasi influenza dan ini boleh menyebabkan kemasukan ke hospital yang berpanjangan dengan risiko kematian yang tinggi.

Sementara itu, mengulas mengenai pelaksanaan kombinasi tetanus-difteria-pertussis (Tdap) kepada ibu mengandung, Dzulkefly berkata, program tersebut dijangka bermula pada hujung tahun ini.

"Satu dos Tdap akan diberikan kepada ibu mengandung pada usia kehamilan 27 hingga 32 minggu," katanya.

Tambah beliau, rekod menunjukkan terdapat peningkatan kes batuk kokol dalam kalangan bayi dan pelaksanaan Tdap merupakan langkah pencegahan terhadap penyakit berkenaan.

"Memang ada rekod kadang-kadang kes meningkat dalam kalangan mereka yang dapat vaksin, sebab itu perlu untuk kita beri kepada ibu supaya anak sudah mendapat imunisasi daripada mak,” katanya lagi.

Menteri Kesihatan sebelum ini, Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif tersebut dijangka membabitkan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi meliputi anggaran 500,000 ibu hamil, setiap tahun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!