Insiden serangan pemain bola sepak tidak wajar berlaku

Iklan
Ahmad Samsuri (tengah) bersama Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim merakam gambar bersama para atlet sempena Majlis Perhimpunan Kontinjen Sukma Terengganu 100 Hari Menjelang Sukma XXI di Wisma Darul Iman, pada Rabu.

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meluahkan rasa kesal berhubung insiden serangan yang menimpa tiga pemain bola sepak kerana dikhuatiri mencetuskan jenayah lebih besar.

Menurutnya, kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku di negara ini kerana semua pihak perlu menghormati antara satu sama lain.

Iklan
Iklan

"Tak kiralah siapa jua, (insiden sebegini) tidak patut berlaku dalam negara kita dan kita bersimpati kepada pemain bola yang menjadi mangsa," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Kontinjen Sukma Terengganu 100 Hari Menjelang Sukma XXI di sini, pada Rabu.

Ahmad Samsuri memberitahu, kejadian itu diharap tidak menjadi trend kerana ia menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan diri dan nyawa.

Iklan

"Saya tak tau nak kata ini trend atau perkara baharu yang berlaku kerana ia menimbulkan kebimbangan.

"Harapnya ia bukan satu trend baharu dan semua pihak perlu menghormati antara satu sama lain termasuk ahli sukan," ujar beliau.

Iklan

Pada 2 Mei lalu, pemain sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid cedera akibat dipukul pada bahagian kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di sebuah kondominium di sini.

Insiden itu menyebabkan tonggak TFC itu menerima enam jahitan di bahagian kepala dan kaki.

Tidak terhenti setakat itu, Ahad lalu, pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim disimbah asid dalam kejadian berlaku di sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang.

Faisal yang pernah menyarung jersi skuad Penyu sehingga 2022 pula kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital.

Pada malam Selasa pula, pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim menjadi mangsa serangan terbaharu oleh dua individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan kelab itu di Seri Gelam, Johor Bahru.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!