Wanita warga emas maut, dua kenderaan jatuh gaung sedalam 15 meter

Iklan
Treler dan kereta Lexus telah terbabas ke dalam gaung dengan tiga mangsa di dalam kereta Lexus tersepit. Foto JBPM Perak

IPOH - Seorang wanita warga emas maut manakala dua lelaki cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan, dengan dua daripadanya terbabas ke gaung sedalam 15 meter di KM314 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat Tapah petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah lori treler membawa muatan batu, kereta jenis Lexus dan BMW.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihak JBPM bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.06 petang sebelum mengejarkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba, didapati dua daripada kenderaan terlibat iaitu lori treler dan kereta Lexus telah terbabas ke dalam gaung dengan tiga mangsa di dalam kereta Lexus tersepit.

Iklan

"Pemandunya, yang berusia 43 tahun dan penumpang di bahagian hadapan berusia 77 tahun mengalami kecederaan manakala mangsa yang duduk di bahagian belakang berumur 71 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” menurutnya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, pemandu kereta BMW dan pemandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan

Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh manakala warga emas yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - Bernama