RANTAU PANJANG - Tentera Darat Malaysia (TDM) menahan tiga lelaki dan merampas 32 ekor lembu dipercayai diseludup masuk dari Thailand ke negara ini melalui Sungai Golok di sini pada Selasa ketika umat Islam bersiap sedia untuk bersahur.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, semasa melakukan rondaan rutin pada jam 5.15 pagi, anggota bertugas telah mengesan tujuh lelaki sedang membawa lembu menyeberangi tebing dari Thailand ke sempadan Malaysia melalui Sungai Golok.
"Selain itu, sebuah lori yang dipercayai akan digunakan untuk membawa lembu-lembu tersebut turut dikesan berada di lokasi.
"Seramai 10 lelaki yang dipercayai menunggu untuk melaksanakan proses pemindahan tersebut," katanya.
Ujar kenyataan berkenaan, pasukan operasi telah bertindak mengepung kawasan tersebut dan berjaya menahan tiga lelaki berusia 36 hingga 43 tahun.
Selebihnya pula telah bertindak melarikan diri dengan menyeberangi Sungai Golok ke sempadan Thailand, katanya.
"Turut dirampas adalah 32 ekor lembu dipercayai cuba diseludup dari Thailand tanpa sebarang dokumen sah, sebuah lori jenis Isuzu, kereta jenis Proton Saga dan lima buah motosikal dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM448,350.
"Laporan polis berkaitan rampasan haiwan ternakan telah dibuat di Balai Polis Lubok Stol di sini. Haiwan rampasan telah diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Rantau Panjang," katanya.