MARUDI - Seorang lelaki maut manakala isterinya terselamat selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 15 meter berhampiran Kem Pelutan, Ulu Baram, tengah malam tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 12.49 tengah malam.
Iklan
Iklan
"Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi digegaskan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 220 kilometer dari balai.
"Setibanya di lokasi pada 7.50 pagi, pasukan operasi mendapati sebuah Toyota Hilux terjatuh ke dalam gaung dari bahu jalan dengan seorang lelaki masih terperangkap di dalam kenderaan berkenaan,” menurut JBPM Sarawak dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi menyelamat dijalankan menggunakan tali penyelamat bagi menuruni cerun sebelum mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan ahli keluarga dan dibawa naik ke bahu jalan menggunakan pengusung.
"Mangsa dihantar ke klinik berhampiran oleh pasukan bomba, namun disahkan meninggal dunia.
"Isteri mangsa telah diselamatkan lebih awal oleh pekerja Kem Pelutan dan dibawa ke Klinik Long San oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) serta keadaannya dilaporkan stabil,” menurut kenyataan itu. - Bernama