Tujuh penghuni samun pusat perlindungan

Iklan
Ahmad Zamry (kanan) menunjukkan dua motosikal yang dilarikan suspek, selepas sidang akhbar di IPD Segamat, Segamat pada Selasa.
SEGAMAT - Polis menahan tujuh penghuni pusat perlindungan di Kampung Jawa di sini selepas melakukan samun menggunakan pisau dan besi di pusat berkenaan pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, suspek yang berusia antara 30 hingga 50 tahun itu melakukan samun terhadap pengendali pusat perlindungan tersebut yang berusia 60 tahun.

"Sebelum semua suspek lelaki itu melarikan diri, mereka melarikan dua

buah motosikal jenama Honda EX 90 dan Suzuki Smash Revo 90 milik penghuni di pusat perlindungan tersebut.

"Selepas itu mereka melakukan samun secara berkumpulan di tempat lain pada hari sama," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di sini pada Selasa.

Beliau berkata, bertindak atas risikan dan maklumat awam anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat berjaya semua suspek dalam serbuan berasingan sekitar daerah ini dan Bayan Lepas, Pulau Pinang iaitu selepas 24 jam mereka melarikan diri dari pusat berkenaan.

"Berdasarkan siasatan awal itu, semua suspek memberitahu sudah bosan duduk di pusat perlindungan itu dan tidak mahu lagi diberikan rawatan," katanya.

Ahmad Zamry berkata, pihaknya turut merampas dua motosikal, sebilah pisau dan sebatang besi yang digunakan semasa kejadian.

Tambahnya, semua suspek negatif dadah dan hasil semakan rekod lampau mendapati mereka tidak mempunyai rekod lama jenayah.

Kes berkenaan katanya, disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan samun berkumpulan, semua suspek direman lima hari bermula Isnin.