Tukar status tanah sawah dikhuatiri jejas keselamatan makanan

Iklan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Ismail

ALOR SETAR - Menukar status tanah sawah kepada pembangunan komersial dikhuatiri memberi impak besar terhadap jaminan keselamatan makanan negara.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh berkata, tindakan itu juga akan mengurangkan hasil padi, dengan anggaran 10 peratus hasil pengeluaran padi setahun sekiranya 10,000 hektar tanah ditukar status.

Iklan
Iklan

Menurutnya, oleh itu tuntutan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk menukar status tanah sawah untuk dikomersialkan perlu diteliti semula.

"MADA membekalkan sebanyak 40 peratus keperluan padi dan beras negara, pada masa sama kerajaan akan membelanjakan lebih RM5 bilion untuk projek tanaman padi lima kali dua musim di kawasan MADA.

Iklan

"Kita akan kehilangan hasil lima tan yang jika didarabkan dengan keluasan 10,000 hektar akan menyebabkan kehilangan 100,000 tan metrik untuk dua musim atau dalam setahun,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini pada Selasa.

Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersedia meluluskan penukaran status tanah MADA kepada pembangunan komersial sebagai salah satu inisiatif membantu meningkatkan pendapatan Kedah yang memainkan peranan besar dalam keselamatan makanan negara.

Iklan

Anwar memaklumkan, Muhammad Sanusi membuat permintaan itu untuk meningkatkan pendapatan Kedah yang bergantung kepada hasil pertanian sebelum ini.

Ia bagi memenuhi keperluan membangunkan beberapa kawasan MADA untuk dijadikan perumahan, industri dan perniagaan.

Sementara, Muhammad Sanusi kemudian menjelaskan, kerajaan negeri kehilangan peluang pendapatan kira-kira RM100 juta setahun di kawasan tanah sawah bawah MADA yang boleh dibangunkan untuk tujuan industri, komersial dan perumahan.

Menurutnya, kira-kira 10,000 hektar tanah sawah MADA dimasukkan di bawah Rancangan Tempatan Daerah (RTD) untuk pembangunan perumahan, 400 hektar untuk tujuan industri dan beberapa hektar lagi untuk komersial.

Ismail menjelaskan, permohonan asas Menteri Besar adalah menuntut RM200 juta kepada Kerajaan Persekutuan disebabkan pengorbanan negeri itu tidak membangunkan sebahagian sawah dalam kawasan MADA.

"Tuntutan itu dibuat sejak 2008 lagi dan asas tuntutannya relevan. Pada masa sama polisi kerajaan menjadikan makanan sebagai bahan keselamatan negara dan MADA membekalkan 40 peratus keperluan padi dan beras negara,” ujarnya.

Menurutnya lagi, projek menaik taraf infrastruktur MADA bagi tujuan penanaman padi lima kali dua tahun juga perlu dikaji semula sekiranya Muhammad Sanusi berhasrat meneruskan tuntutan tersebut kerana antara komponen projek termasuk pembinaan saliran tersier.

"Saya cadangkan tuntutan Menteri Besar itu digantikan dengan alternatif lain antaranya menuntut bayaran kredit karbon bagi pengekalan kawasan sawah dan hutan negeri.

"Sebelum itu, wartakan dahulu kesemua lebih 100,000 hektar kawasan penanaman MADA dan luluskan segera kawasan MADA Plus dan luar MADA. Selepas pewartaan itu Kerajaan Persekutuan bantu negeri untuk dapatkan bayaran kredit karbon,” katanya.

Menurutnya, pendekatan itu dapat memanfaatkan kedua-dua pihak, dengan konsep menang-menang.

"Jadikan Kedah sebagai contoh negeri yang menjana hasil daripada sumber kredit karbon yang mana padi dapat, pendapatan hasil kredit karbon pun dapat,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!