Tingkat pelaburan langsung asing dan domestik, elak karenah birokrasi

Iklan
Al Sultan Abdullah berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Dewan dan Mesyuarat Pertama Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15, di Wisma Sri Pahang, pada Isnin.

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya segala karenah birokrasi yang menyebabkan kelewatan di dalam proses permohonan sama ada di peringkat kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan tidak berlaku.

Titah baginda, dengan cara ini dapat menjadikan Pahang sebagai negeri mesra pelabur, malah mampu mempertingkatkan tahap kompetensi dan kecekapan semua jabatan serta agensi kerajaan yang terlibat.

Iklan
Iklan

Baginda bertitah lagi, peranan pelaburan langsung asing dan pelaburan domestik adalah antara pemangkin utama ekonomi di Pahang.

"Beta amat berbangga dengan pencapaian kerajaan beta sepanjang tahun 2023 di mana negeri ini menerima banyak cadangan pelaburan dari dalam dan luar negara meliputi negara China, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Australia, New Zealand dan lain-lain

Iklan

"Sehubungan itu, beta berharap agar cadangan-cadangan ini dapat dipertimbangkan dan dimuktamadkan sebaiknya bagi menggalakkan perkembangan ekonomi dan sosial Negeri Pahang," titah baginda.

Al- Sultan Abdullah berkenan membacakan titah bersempena Istiadat Pembukaan Dewan dan Mesyuarat Pertama Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15, di Wisma Sri Pahang, pada Isnin.

Al- Sultan Abdullah bertitah demikian bersempena Istiadat Pembukaan Dewan dan Mesyuarat Pertama Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15, di Wisma Sri Pahang di sini pada Isnin.

Iklan

Baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada pentadbiran kerajaan dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana berjaya meningkatkan prestasi kutipan hasil melebihi RM1 bilion untuk dua tahun berturut-turut.

Al-Sultan Abdullah bertitah, kerajaan Pahang berjaya memperoleh kutipan hasil sebanyak RM1.306 bilion melalui pelbagai sumber hasil negeri dengan sumbangan terbesar adalah kutipan hasil tanah yang keseluruhannya berjumlah RM740.35 juta.

"Malah kutipan hasil kerajaan negeri bagi tahun 2023 menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 1.42 peratus lebih tinggi berbanding dengan prestasi jumlah kutipan hasil pada tahun 2022 iaitu RM1.28 bilion.

"Bagi tahun 2024, kerajaan beta telah menetapkan sasaran kutipan hasil secara keseluruhan sebanyak RM1.137 bilion. Sehingga 30 April, kerajaan beta telah berjaya mengutip hasil secara keseluruhan sebanyak rm298.108 juta iaitu 26.2 peratus daripada sasaran yang ditetapkan dan beta percaya jumlah ini akan bertambah dari semasa ke semasa,” titah baginda.

Baginda juga berharap kerajaan negeri memperkukuhkan lagi iltizam untuk melipat gandakan produktiviti dan daya saing.

Titah baginda, ini bagi memastikan prestasi kutipan hasil tahun ini bukan sahaja dapat dikekalkan, malah dipertingkatkan lagi sebagaimana yang telah disasarkan

"Dalam hal ini beta percaya pentadbiran kerajaan beta amat menitik beratkan perihal tadbir urus yang baik, akauntabiliti dan integriti setiap anggota pentadbiran kerajaan beta untuk merealisasikan harapan negeri beta sebagai sebuah negeri beretika dan berintegriti tinggi,” titah Al-Sultan Abdullah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!