Dua sahabat maut dilanggar bas

Iklan
Dua sahabat maut apabila motosikal ditunggang mereka terlibat kemalangan dengan sebuah bas ekspres. Keadaan motosikal yang rosak teruk akibat kemalangan. Foto Polis Marang

MARANG - Dua sahabat maut apabila motosikal ditunggang mereka terlibat kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 13.5 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan dekat sini pada awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd Razman Setapa berkata, lelaki yang berusia 21 tahun bersama pembonceng wanita berumur 18 tahun itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 1.30 pagi tadi melibatkan bas ekspres dan motosikal jenis Modenas.

"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa telah bertembung dengan bas ketika keluar dari arah Medan Jaya sehingga menyebabkan pemandu bas itu tidak sempat membrek serta mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan.

Iklan

"Akibat kejadian itu, penunggang bersama pembonceng motosikal tersebut telah mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Razman berkata, kedua mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat dan tindakan lanjut.

Iklan

Katanya, pemandu dan penumpang bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian tersebut diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Syafiq Amsyar Baharuddin di talian 013- 9195738 atau 09-6182222," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!