KUALA KRAI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun lapan bulan dilaporkan hilang di kawasan sekitar rumahnya di Kampung Bechah Salak, di sini, pada Ahad.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 6.37 petang berhubung kejadian itu.
Menurut laporan operasi, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 6.44 petang, kira-kira tujuh minit selepas panggilan diterima, dengan jarak perjalanan sejauh 10 kilometer dari balai.
Komander operasi, PBK I Mohd Khairul Duha Abd Halim berkata, pemeriksaan awal di lokasi mengesahkan kanak-kanak berkenaan hilang di sekitar kawasan rumah.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dilaksanakan di kawasan sekitar rumah, kolam serta hutan berhampiran bagi mengesan mangsa.
"Usaha pencarian turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam, namun operasi masih berlangsung ketika keadaan semakin gelap," katanya.
Beliau berkata, seramai sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai serta empat anggota polis terlibat dalam operasi berkenaan.
Pasukan bomba menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux bagi membantu operasi pencarian.