KUALA KRAI – Kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan hilang ketika bermain di halaman rumahnya di Kampung Bechah Salak di sini dipercayai berlaku selepas ibu saudara terlelap ketika mengawasi mangsa.
Muhammad Irsyad Hakim Mohammad Khairul dipercayai hilang kira-kira pada jam 4 petang.
Ketika kejadian, ibu mangsa sedang tidur di dalam rumah, manakala ibu saudaranya juga wanita dewasa yang mengawasi kanak-kanak itu turut terlelap selama kira-kira 15 minit.
ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak usia setahun 8 bulan dilaporkan hilang
Mangsa disedari hilang selepas ibunya terjaga.
Komander Operasi Balai Bomba Kuala Krai, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Khairul Duha Abdul Halim berkata, keluarga mangsa melakukan pencarian sebaik menyedari kanak-kanak itu tiada, termasuk di kawasan kolam ikan berhampiran rumah.
Menurutnya, terdapat dua kolam ikan kira-kira 50 meter dari rumah mangsa namun salah sebuah kolam berpagar.
“Pencarian sudah dilakukan di kolam ikan berkenaan dengan satu kolam yang kedalaman kira-kira tiga meter itu sudah dikeringkan.
“Setakat ini mangsa belum ditemui,” katanya kepada pemberita.
Sebelum itu, pihaknya melalui Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.37 petang.
Mohd Khairul Duha berkata, berdasarkan maklum balas keluarga, pergerakan anak bongsu daripada dua beradik itu masih perlahan.
“Sehingga kini operasi mencari masih diteruskan,” katanya.
Ujar beliau, selain kolam ikan, operasi mencari dan menyelamat turut digerakkan di kawasan rumah mangsa serta hutan berdekatan.