Polis tahan pasangan kekasih, rampas dadah RM4.73 juta

Iklan
Kok Chin (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas susulan tangkapan pasangan kekasih di sebuah kondominium di Puchong Jaya pada Sabtu.

SHAH ALAM - Tindakan pasangan kekasih yang sanggup menyewa sebuah unit kondominium untuk dijadikan sarang pengedaran dadah terbongkar selepas diberkas di Puchong Jaya pada Sabtu.

Tangkapan kedua-dua warga tempatan termasuk suspek lelaki yang dipercayai ketua sindiket itu berjaya merampas sejumlah dadah bernilai RM4.73 juta.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, operasi kira-kira jam 3.15 pagi itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.

"Siasatan lanjut berdasarkan tangkapan suspek membawa serbuan ke sebuah unit kondominium.

Iklan

"Pemeriksaan dilakukan menemui dadah jenis eramin 5 seberat 0.2 gram dan syabu seberat 1.6 gram yang ditemukan di bahagian ruang tamu kondominium berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Isnin.

Antara alat memproses dan dadah yang dirampas susulan tangkapan pasangan kekasih di sebuah kondominium di Puchong Jaya pada Sabtu.

Katanya, siasatan kemudiannya membawa satu lagi pemeriksaan melibatkan sebuah kenderaan jenis Hyundai Elantra yang berada di tepi jalan dekat sekitar Puchong Jaya.

Iklan

"Pemeriksaan menemukan dadah jenis mdma dengan berat 26.5 kilogram (kg), ketamin (5.4 kg) dan heroin (1.4 kg), syabu (1 kg) dan pil ekstasi seberat 0.5 kg.

"Turut dirampas dalam kenderaan terbabit adalah sepucuk pistol jenis glock bersama 15 dan 17 butir peluru serta alat dipercayai digunakan menghasilkan dadah," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket terbabit bergiat aktif sekitar kawasan Lembah Klang.

"Suspek lelaki dipercayai merupakan ketua sindiket dan seorang lagi suspek adalah pembantunya selain semakan mendapati kedua-dua suspek berumur 32 dan 35 tahun itu memiliki pelbagai rekod termasuk dadah dan jenayah lampau.

"Unit kondominium dan sebuah kereta jenis Hyundai Elantra dipercayai disewa untuk digunakan dalam kegiatan pengedaran dadah yang dijalankan kedua-dua mereka," katanya.

Kok Chin (dua dari kiri) menunjukkan alat digunakan untuk memproses dadah susulan tangkapan pasangan kekasih di sebuah kondominium di Puchong Jaya pada Sabtu.

Kok Chin berkata, sindiket dipercayai menjual dadah secara borong dan runcit di sekitar kawasan Lembah Klang.

"Polis masih menyiasat sama ada dadah ini turut dijual di pusat-pusat hiburan serta penglibatan beberapa individu lain dalam kegiatan dijalankan kedua-dua mereka.

"Setakat ini sumber bekalan kesemua dadah ini diperoleh masih disiasat secara mendalam," katanya.

Tambahnya, turut dirampas dua kereta jenis Mercedes Benz, dua cincin dan wang tunai berjumlah RM4,500.

"Nilai rampasan keseluruhan dadah berjumlah RM4.73 juta manakala nilai sitaan berjumlah RM186,600.

"Kedua-dua suspek direman tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!