Perketat sempadan elak lembu, kambing diseludup masuk - Mat Sabu

Iklan
Mohamad (tengah) ketika merasmikan Majlis Simposium Pengembangan Subsektor Tanaman Jabatan Pertanian Tahun 2024 di KSL Esplanade Hotel, Klang pada Isnin.

KLANG - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu meminta agar penguatkuasaan di sempadan negara dipertingkatkan bagi mengekang penyeludupan kambing dan lembu murah.

Mohamad Sabu berkata, kemasukan bekalan bahan mentah yang tidak melalui proses undang-undang akan menyebabkan penternak di negara ini berdepan dengan masalah terutamanya di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak.

Iklan
Iklan

Katanya, ini kerana kambing yang diseludup boleh dijual dengan harga sekitar RM280 hingga RM300 jauh lebih rendah berbanding haiwan tempatan.

"Ia perlu dikawal sebaik mungkin oleh jabatan berkenaan supaya penternak tidak berasa kecewa apabila usaha mereka tiada pulangan berbaloi, kos menternak sebenarnya sangat tinggi," ujarnya selepas merasmikan Majlis Simposium Pengembangan Subsektor Tanaman Jabatan Pertanian Tahun 2024 di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai persiapan kerajaan sempena menjelang Hari Raya Aidiladha

Tambah beliau, selain prihatin dengan penternak tempatan, kerajaan juga bimbang sekiranya lembu dan kambing yang masuk secara haram di negara ini akan membawa penyakit.

Iklan

"Daging dan sebagainya dari luar negara mesti mendapat kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) supaya benda berpenyakit tidak dimakan rakyat Malaysia," jelasnya.

Sementara itu, Mohamad memberitahu Simposium Pengembangan Subsektor Tanaman Jabatan Pertanian Tahun 2024 yang diadakan selama tiga hari secara hibrid itu berjaya mengumpul hampir 1,000 peserta.

" Mereka terdiri daripada pemain industri dalam subsektor tanaman makanan dan pengembangan daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi.

"Program sebegini sangat baik untuk mengangkat dan memacu transformasi positif sektor agromakanan ke arah pembudayaan inovatif serta sistem pengembangan pertanian dalam subsektor tanaman makanan," katanya.

Dalam majlis tersebut, Mohamad turut melancarkan kemudahan khidmat pengembangan bergerak yang dikenali sebagai Klinik Doktor Pokok.

"Perkhidmatan bergerak ini menyediakan kemudahan seperti makmal mini, bahan rujukan, ruangan perbincangan dan kemudahan pameran. Mereka dibekalkan dengan teknologi moden untuk mengesan penyakit dengan segera selain memberi nasihat kepada pekebun bagi menyelesaikan masalah melibatkan pokok sakit.

"Setakat ini, ia dilancarkan di empat buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Bagaimanapun akan dikembangkan ke seluruh negara," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!