Protes pro-Palestin merebak ke Eropah

Iklan
Pasukan polis antirusuhan Perancis menghalang tunjuk perasaan solidariti dengan penduduk Gaza.

PARIS - Kumpulan penuntut menyekat akses ke kampus di sebuah universiti di Perancis setelah demonstrasi pro-Palestin merebak ke rantau Eropah dan seluruh Amerika Syarikat (AS) sejak Jumaat lalu.

Insiden terbaharu itu menyaksikan peserta protes berkenaan ‘menduduki’ bangunan di Paris Institute of Political Studies atau dikenali sebagai Sciences Po selepas sebahagian daripada mereka bertindak menghalang pintu masuk yang menggemakan suara rakan seangkatan mereka di Washington.

Kumpulan penuntut membawa bendera kebangsaan Palestin ketika mengadakan protes di pintu masuk Sciences Po Paris.

Iklan
Iklan

Mereka menjadikan gerakan solidariti yang bermula di AS sebagai inspirasi untuk melancarkan demonstrasi serupa.

Kumpulan penuntut tersebut turut melaungkan slogan anti-Israel sambil membawa plakad.

Penuntut Columbia University memberi inspirasi kepada rakan seangkatan mereka di Australia dan Kanada.

Iklan

Protes gaya penuntut universiti AS terus mendapat momentum dan turut dilancarkan di Australia serta Kanada meskipun menerima tentangan pentadbir kampus dan pihak berkuasa.

Di ibu kota Jerman, beberapa individu dilaporkan ditahan selepas pihak berkuasa menggunakan tindakan kekerasan untuk merobohkan khemah peserta protes pro-Palestin di pekarangan Parlimen.

Pihak berkuasa merobohkan khemah peserta demonstrasi di Berlin.

Iklan

Difahamkan, matlamat utama golongan itu adalah untuk menuntut pelaksanaan gencatan senjata kekal, menghentikan kekejaman rejim Zionis dan mengenakan embargo senjata terhadap Israel.

Idea gerakan protes itu dicetuskan oleh penuntut Columbia University selepas ratusan mereka mendirikan khemah sebagai tanda protes di lebih 10 kampus dari Massachusetts hingga ke California.

Beberapa kampus bertindak menggesa campur tangan pihak berkuasa hingga membawa kepada penahanan ratusan penuntut sejak minggu lalu.

Khemah sementara menjadi simbol gerakan protes tersebut.

Baru-baru ini lebih 135 imam dan ulama di AS menandatangani kenyataan yang mengagumi keberanian golongan penuntut tersebut yang nekad bangkit memperjuangkan hak Palestin.

"Semoga usaha anda memberi harapan dan inspirasi kepada tindakan selanjutnya ke arah dunia yang adil serta saksama. Ia jelas menunjukkan komitmen peserta protes berkenaan untuk memberi tekanan kepada sistem universiti Amerika yang bertanggungjawab membantu dan bersekongkol dalam perang genosid di Genting Gaza,” menurut butiran kenyataan mereka. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!