Alasan FAM remeh

Iklan
Aksi pasukan negara ketika menentang Vietnam dalam Kumpulan D Piala Asia B-23. Foto FAM

ALASAN yang diberikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui pengarah teknikalnya, Scott O'Donell susulan kegagalan Harimau Muda di Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) di Qatar sebagai terlalu remeh.

Penganalisis sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa berkata, tindakan FAM yang menyalahkan faktor kecergasan perlawanan dalam kalangan pemain adalah tidak wajar dengan badan induk itu seharusnya tampil dengan perancangan lebih jitu menjelang kejohanan besar seperti Piala Asia B-23.

Iklan
Iklan

"Ini adalah satu alasan yang amat remeh pernah kita jumpa daripada seorang pengarah teknikal berpengalaman yang sepatutnya tahu untuk memberi nasihat kepada jurulatih selain sudah mengetahui lebih awal tarikh untuk kejohanan Piala Asia dan kelayakan Olimpik itu.

"Walaupun ada rehat empat bulan sebab liga tiada, ia bukan satu isu. Apa yang menjadi masalah adalah kenapa Scott dan jurulatihnya tidak membuat perancangan dengan memberikan kertas cadangan untuk dibawa kepada mesyuarat agar persiapan dimulakan lebih awal misalnya 60 hari sebelum kejohanan itu.

Iklan

"Pada ketika beberapa pasukan bola sepak negara Asia Tenggara seperti Indonesia telah meningkat dan berjaya mara ke pusingan seterusnya, kita masih lagi dengan alasan remeh seperti ini," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Skuad muda negara tampil dengan aksi longlai dalam kejohanan Piala Asia itu apabila kalah semua perlawanan untuk berada di kedudukan terakhir Kumpulan D.

Iklan

Harimau muda tewas kepada Uzbekistan 0-2 pada perlawanan pembukaan dan kemudiannya kalah lagi kepada Vietnam dengan jaringan yang sama sebelum diajar pula oleh Kuwait 1-2 dalam aksi terakhir kumpulan.

Dalam kenyataan kepada media pada Rabu, Scott juga menyifatkan kekurangan minit permainan dalam kalangan pemain di Liga Super menjadi penyebab skuad muda negara gagal beraksi dengan baik.

Mohd Sadek berkata, Scott juga tidak sewajarnya meletakkan kesalahan kepada minit permainan pemain dan mempersoalkan apa tindakan pengarah teknikal itu dalam mengatasi perkara tersebut.

"Sepatutnya beliau menjadi watak utama dalam memastikan kita tidak ketandusan pemain pelapis dengan cadangan bernas daripada beliau.

"Tetapi, apa cadangan dan tindakan beliau terutama kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) agar lebih ramai pemain muda diketengahkan dalam saingan liga utama?," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!