PERSATUAN Ragbi Putrajaya (PRP) baru-baru ini melancarkan Putrajaya Super Rugby (PSR) 2026 sebagai inisiatif strategik bagi memperkukuh landskap ragbi tempatan menerusi penganjuran liga negeri berstandard profesional.
Kejohanan bermula Sabtu hingga 1 Februari 2026 itu dirangka sebagai platform pembangunan menyeluruh selaras dengan aspirasi memajukan sukan ragbi komuniti ke tahap lebih tinggi.
Menurut kenyataan PRP, PSR 2026 menampilkan kelainan dengan menerapkan elemen profesionalisme tinggi merangkumi struktur penganjuran, jadual sistematik dan protokol pengadilan yang ketat serta keselamatan pemain.
"PSR 2026 dirangka bagi memperkemas struktur liga negeri agar lebih tersusun dan berdisiplin, sekali gus meningkatkan kualiti persaingan di peringkat akar umbi.
"Pendekatan ini bertujuan membentuk budaya liga yang lebih profesional dalam kalangan kelab dan pemain, selari dengan keperluan pembangunan ragbi semasa,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, PSR 2026 berfungsi sebagai medan pendedahan kepada pemain muda dan pasukan universiti untuk beraksi dalam suasana pertandingan yang lebih teratur dan berintensiti tinggi.
PRP turut melihat penganjuran liga ini sebagai usaha menyediakan laluan pembangunan bakat yang lebih tersusun ke peringkat negeri dan kebangsaan menerusi sistem pertandingan yang lebih kemas dan berdaya saing.
Tambah kenyataan itu lagi, selain saingan liga, PSR 2026 turut memberi ruang kepada penglibatan komuniti melalui siaran langsung perlawanan di platform digital serta penganjuran aktiviti pembangunan ragbi.
Aksi peringkat awal kejohanan bakal diadakan di Padang Ragbi Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya, manakala perlawanan akhir dijadual berlangsung di Padang Ragbi Universiti Putra Malaysia (UPM).
Membawa slogan baharu ‘Komuniti Adalah Keutamaan Kami’, edisi sulung format baharu ini menyaksikan lapan pasukan bakal berentap iaitu Asas RC, Southern Oilers RC, Knuckles RC, SDAR Lions RC, UKM Bandits RC, MMU Hornbills RC, Phytons RC dan Kajang Rams RC.