Arsenal kempunan jarakkan mata, buntu diikat Liverpool

Iklan
Arsenal diikat Liverpool tanpa jaringan dalam aksi Liga Perdana Inggeris. Foto: AFP

ARSENAL mensia-siakan peluang keemasan untuk mendahului lapan mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila sekadar mencatat keputusan seri 0-0 menentang Liverpool di Stadium Emirates pada Jumaat.

Walaupun gagal menjaringkan gol di laman sendiri buat kali pertama musim ini, keputusan itu sudah memadai buat The Gunners melebarkan kelebihan kepada enam mata berbanding pencabar terdekat di tangga kedua, Manchester City.

Iklan
Iklan

Kegagalan City mencatat kemenangan dalam tiga aksi berturut-turut sepanjang minggu lalu sebenarnya telah membuka ruang luas buat anak buah Mikel Arteta untuk menghampiri gelaran liga pertama mereka dalam tempoh 22 tahun.

Suasana di Emirates yang gamat sebelum wisel permulaan bagaimanapun bertukar sedikit hambar apabila pertembungan antara juara bertahan dan pasukan pilihan juara itu gagal memenuhi jangkaan.

Iklan

Kedua-dua pasukan dilihat bergelut dengan keadaan cuaca buruk susulan Badai Goretti yang membawa hujan lebat serta angin kencang, sekaligus menyukarkan corak permainan.

Liverpool, yang merupakan salah satu daripada dua pasukan yang pernah menewaskan Arsenal musim ini, hampir memecah kebuntuan pada babak pertama menerusi Conor Bradley namun rembatannya sekadar menggegar palang gol.

Iklan

Ia berpunca daripada hantaran ke belakang William Saliba yang hampir memerangkap penjaga gol, David Raya yang sudah tertewas di posisinya, namun nasib menyebelahi tuan rumah apabila lambungan Bradley terkena bahagian bawah palang.

Bersambung babak kedua, The Reds tampil lebih dominan menguasai bola dan kawasan namun ketiadaan tiga tonggak serangan utama merencatkan ketajaman di hadapan gol.

Ketiadaan Alexander Isak dan Hugo Ekitike yang cedera serta Mohamed Salah yang menyertai Piala Negara-Negara Afrika jelas dirasai pelawat.

Ancaman Liverpool hanya hadir menerusi larian deras Jeremie Frimpong yang kerap menguji pertahanan Arsenal, namun gagal melakukan hantaran akhir yang berkesan.

Peluang terbaik pelawat hadir menerusi sepakan percuma Dominik Szoboszlai yang hampir mengulangi jaringan memukau pada pertemuan terdahulu, namun rembatan derasnya tersasar sedikit pada saat akhir.

Di kem tuan rumah, Arteta terpaksa mengeluarkan Viktor Gyokeres selepas satu lagi persembahan kurang bermaya, menyaksikan kemarau jaringan penyerang itu dalam permainan terbuka kini berlanjutan kepada 10 perlawanan.

Arteta cuba mengubah nasib dengan memasukkan tenaga baharu dari bangku simpanan termasuk Gabriel Jesus, Noni Madueke, Eberechi Eze dan Gabriel Martinelli dalam usaha memburu gol kemenangan.

Bagaimanapun, mereka hanya berjaya menguji penjaga gol Liverpool, Alisson Becker pada masa kecederaan menerusi percubaan jarak dekat Jesus dan Martinelli.

Satu mata yang diraih menyaksikan Liverpool kini merekodkan 10 perlawanan tanpa kalah, sekaligus mengukuhkan cengkaman di tangga keempat dengan kelebihan tiga mata mengatasi Newcastle United dan Manchester United bagi pemburuan slot ke Liga Juara-Juara musim depan.