PERSATUAN Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) mengakui bahawa kekangan kewangan memberi kesan terhadap keupayaan pasukan mendapatkan pemain berkualiti, namun kelab itu terus berusaha memaksimumkan bajet sedia ada bagi memastikan daya saing dalam saingan Liga Super.
Exco Kesihatan, Belia dan Sukan negeri, Daniel Gooi Zi Sen, berkata dalam era bola sepak moden, faktor kewangan merupakan antara elemen penting dalam pembentukan sesebuah pasukan, khususnya untuk bersaing secara konsisten di peringkat tertinggi.
“Sekiranya kita mempunyai bajet yang lebih besar, sudah tentu lebih mudah untuk mendapatkan pemain berkualiti.
"Ini adalah realiti yang tidak dapat dinafikan dalam bola sepak hari ini,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Komtar di sini pada Jumaat.
Namun demikian, beliau menegaskan FAP tidak menjadikan kekangan tersebut sebagai alasan untuk mengabaikan prestasi, sebaliknya terus memberi penekanan kepada pembangunan pemain tempatan sebagai teras utama pasukan.
"FAP merupakan antara kelab Liga Super yang menggunakan bilangan pemain import paling rendah, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pemain tempatan untuk mendapat pendedahan dan pengalaman beraksi di peringkat tertinggi," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Daniel berkata, FAP turut berbangga apabila beberapa bekas dan pemain semasa pasukan itu berjaya menyarung jersi kebangsaan, antaranya Adib Ra'op dan Syamer Kutty Abba.
Mengulas prestasi semasa, beliau mengakui konsistensi pasukan dalam saingan Liga Super masih boleh dipertingkatkan, namun percaya FAP memiliki skuad yang berkeupayaan untuk bersaing dengan pasukan yang berprofil tinggi.
"Keyakinan itu dizahirkan apabila skuad bola sepak negeri, Penang FC, berjaya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Terengganu FC baru-baru ini, meskipun berdepan pasukan yang mempunyai pelaburan kewangan dan kualiti pemain yang lebih tinggi.
"Kemenangan itu membuktikan Penang FC mempunyai pemain yang boleh beraksi dan bersaing. Ia juga menunjukkan bahawa dengan pengurusan dan komitmen yang betul, pasukan masih mampu mencipta keputusan positif," jelasnya.
Bagi memperkukuh pasukan menjelang baki saingan musim ini, beliau berkata, FAP telah melakukan perpindahan pertengahan musim dengan memperkenalkan dua pemain import baharu masing-masing dari Brazil dan Filipina.
"Kedua-dua pemain import itu ialah Erick Brendon (Brazil) dan Amirul Kamil (Filipina).
"Saya berharap kehadiran mereka dapat membantu memperkemaskan skuad serta meningkatkan prestasi pasukan dalam perlawanan-perlawanan seterusnya," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Daniel berkata, kerajaan negeri terus komited menyokong pembangunan bola sepak akar umbi apabila menyalurkan sumbangan RM100,000 kepada FAP sejak September 2024, selain meluluskan pelupusan tunggakan sewaan stadium berjumlah RM127,168.50.
Menurut beliau, pihaknya turut menggalakkan penglibatan lebih aktif sektor swasta dalam menyokong bola sepak negeri bagi mewujudkan ekosistem sukan yang lebih mampan.
"Sokongan penajaan bukan sekadar memberi manfaat kewangan kepada kelab, tetapi perlu bersifat timbal balik bagi membina ekosistem bola sepak yang sihat dan berdaya maju," katanya.