'Api merebak cepat, kami hanya sempat selamatkan diri'

Iklan
Asmadi menunjukkan salah sebuah motosikal yang hangus dalam kebakaran ketika ditemui di Kampung Kajang, Bawong pada Sabtu.

SUNGAI SIPUT - Lima beranak yang sedang nyenyak tidur nyaris rentung selepas rumah mereka musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Kajang, Bawong di sini pada awal pagi Jumaat.

Mangsa, Asmadi Berapit, 41, berkata, ketika kejadian sekitar jam 5 pagi itu, kesemua ahli keluarga termasuk tiga anaknya yang berusia lima hingga 19 tahun sedang tidur di ruang tamu sebelum isterinya menyedari api membakar berhampiran tempat tidur mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, melihat api mulai marak, kesemua ahli keluarga keluar rumah menyelamatkan diri tanpa sempat mengambil apa-apa barangan berharga termasuk mengalih sebuah kereta dan dua motosikal miliknya.

"Api merebak cepat dan kami hanya sempat menyelamatkan diri. Barang-barang rumah semua hangus termasuklah kereta, motosikal dan peralatan elektrik lain.

Iklan
Kesavan (dua dari kiri) menyerahkan bantuan bencana kepada Asmadi di rumahnya di Kampung Kajang, Bawong pada Sabtu.

"Barang-barang sekolah anak-anak pun habis hangus. Kami memang tak boleh buat apa-apa, hanya mampu lihat rumah musnah terbakar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Kajang di sini pada Sabtu.

Asmadi berkata, anggaran kerugian dialaminya melebihi RM20,000 selain kehilangan pendapatan kerana kenderaan untuk pergi bekerja turut musnah.

Iklan

Menurutnya, setakat ini beberapa pihak sudah menghulurkan bantuan kewangan dan makanan untuk meringankan beban mereka sekeluarga.

Jelas Asmadi, keutamaan ini adalah untuk mendapatkan rumah baharu kerana ketika ini mereka sekeluarga terpaksa menumpang di rumah saudara mara.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan berkata, pihaknya bersama-sama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar sudahpun menyampaikan bantuan bencana sebanyak RM2,000 kepada mangsa terlibat.

Katanya, rumah baharu untuk keluarga tersebut sedang diusahakan dengan kerjasama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk disiapkan secepat mungkin.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28