Jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat

Iklan
Pesakit asma yang sarat mengandung enam bulan, Darina Mahadi,35, (tiga, kanan) ketika diselamatkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Rompin, Pahang di Kampung Mentelong, hari ini. - Foto Bernama

KUANTAN - Pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Kapor, Mentakab yang dibuka pagi tadi terus mencatatkan peningkatan mangsa yang dipindahkan kepada 118 orang daripada 42 keluarga sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding hanya 25 penduduk daripada lima keluarga dari Kampung Batu Kapor yang dipindahkan setakat jam 8 pagi tadi.

Iklan
Iklan

Berdasarkan InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dikemaskini sehingga jam 12 tengah hari tadi, bilangan mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 1,123 mangsa daripada 301 keluarga berbanding seramai 1.030 mangsa daripada 264 keluarga pagi tadi.

Semua mangsa berada di sembilan pusat pemindahan di tiga daerah terjejas, Rompin, Temerloh dan Bera.

Iklan

Daerah Rompin masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 980 mangsa daripada 253 keluarga di mana tujuh PPS masih dibuka.

PPS SK Pianggu masih menempatkan 283 mangsa daripada 82 keluarga, SK Sarang Tiong (214 mangsa daripada 45 keluarga), PPS Kampung Setajam (187 mangsa daripada 51 keluarga), Balai Raya Kampung Rekoh (122 mangsa daripada33 keluarga), Bukit Serok, (92 mangsa daripada 21 keluarga), Balai Raya Kampung Denai (49 mangsa daripada13 keluarga) dan Bukit Lepas (33 mangsa daripada lapan keluarga).

Iklan

Di daerah Bera, seramai 25 mangsa dari enam keluarga masih berada di PPS Balai Raya Kampung Pasal.

Sementara itu, paras air Sungai Lepas di Stesen Jambatan Gelugor di sini melepasi paras amaran apabila merekodkan bacaan 29.35 meter.

Turut melepasi paras amaran, Sungai Triang dengan bacaan 33.83 meter berbanding paras amaran, 33.80 meter sehingga jam 8 pagi tadi.

Sehingga kini, dua laluan masih ditutup kepada semua kenderaan iaitu, jambatan Lubuk Batu di Rompin yang dilimpahi air sedalam 3.70 meter dan Jalan Sungai Yap- Pasir Tambang di Jerantut dengan kedalaman air 0.35 meter.

Manakala Jalan Maran – Jerantut Benta (kuil),Jalan Maran- Jerantut Benta ( simpang Liyana Tomyam), di Maran, Jalan Ulu Retang- Merting (Ladang Sawit Air Hitam) di Jerantut dan Jalan Kemayan- Tembangau di Bera ditutup kepada kenderaan ringan.