Polis nafi gagal ambil tindakan sarang 'scammer' warga China

Iklan
Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang berpusat di China serta menahan 680 warga China yang menjalankan operasi aktiviti berkenaan di Cyberjaya. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Dakwaan Polis Diraja Malaysia gagal mengesan kewujudan warga asing daripada China yang menjalankan aktiviti scam dalam talian di Cyberjaya dilihat tidak benar kerana tiga operasi telah dijalankan di kawasan tersebut pada tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi berkata, serbuan dan tangkapan dalam tiga operasi itu telah dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Sepang, Ibu Pejabat Kontinjen dan Bukit Aman.

Iklan
Iklan

"Operasi pertama dijalankan IPD Sepang, kedua IPD Sepang bersama IPK Selangor dan terakhir oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di lokasi sama. Ini merupakan maklumat yang saya terima daripada Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Abdul Aziz ketika dihubungi berkata, berdasarkan operasi yang dijalankan, suspek dipercayai terlibat dengan sindiket scam itu kini dalam proses pendakwaan di mahkamah.

Iklan

"Kita telah selesaikan kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan di mahkamah," katanya.

Susulan kejayaan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menumpaskan satu sindiket scam atas talian melibatkan warganegara China dalam satu operasi di sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya pagi Rabu lalu, wujud dakwaan bahawa polis tidak mengambil tindakan walaupun laporan telah dibuat oleh orang awam berhubung kehadiran ratusan warga negara itu di kawasan tersebut.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Scam: Imigresen tahan 680 warganegara China

Pada satu sidang media kelmarin, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan yang dilakukan pihaknya pada jam 11 pagi itu, seramai 680 warga China termasuk 77 wanita masing-masing berusia antara 19 hingga 35 tahun ditahan.

Beliau berkata, operasi dilakukan dengan kekuatan 150 pegawai penguat kuasa dan turut merampas 8,230 telefon bimbit, 174 komputer riba dan 787 komputer peribadi.

Jelasnya, kesemua warga China yang ditahan dipercayai menjalankan aktiviti penipuan pelaburan yang berpusat di China.