Sindiket edar cecair vape dadah tumpas

Iklan
Fadil (tiga dari kanan) menunjukkan dadah jenis MDMA yang dirampas dalam serbuan di ibu negara 22 Ogos lalu.

KUALA LUMPUR - Pengedaran dadah sintetik jenis MDMA dan cecair rokok elektronik (vape) yang bergerak aktif sejak hujung tahun lalu tumpas dengan rampasan bernilai RM1.48 juta menerusi serbuan di ibu negara baru-baru ini.

Tujuh siri serbuan pada 22 Ogos itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dan JSJN Bukit Aman hasil maklumat dan risikan.

Iklan
Iklan

Difahamkan, rampasan melibatkan cecair berperisa buah seperti anggur dan strawberi dijual dengan harga sekitar RM100 hingga RM300.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, sembilan individu berusia 24 hingga 34 tahun diberkas melibatkan lima lelaki tempatan, tiga wanita tempatan serta seorang wanita Thailand.

Iklan

Katanya, polis berjaya merampas empat bungkusan plastik mengandungi dadah jenis MDMA; lapan kotak berisi 3,750 katrij cecair disyaki MDMA; 26 kotak mengandungi 2,600 botol cecair MDMA dan dua kotak mengandungi 20 bungkusan plastik berisi katrij vape berwarna hitam.

Antara wang tunai dan barang kemas yang dirampas susulan tumpasnya sindiket pengedaran dadah 22 Ogos lalu.

Iklan

"Secara keseluruhan dadah yang dirampas membabitkan 3,587.5 gram MDMA; 7,600ml katrij MDMA dan 39,000ml botol cecair MDMA yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM1,485,220," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Khamis.

Beliau berkata, sindiket menjadikan unit kediaman dan residensi mewah yang dilengkapi sistem kawalan keselamatan yang ketat sebagai tempat memproses dan menyimpan dadah bagi mengelak kegiatan mereka disedari pihak berkuasa.

Menurut Fadil, modus operasi sindiket ini ialah menjadikan unit kediaman seperti kondominium mewah dalam kawasan berpagar dan dikawal ketat sebagai tempat memproses dan menyimpan dadah.

"Sindiket ini akan menggunakan 'runner' (penghantar) untuk tujuan pengedaran ke sekitar Lembah Klang.

"Siasatan awal mendapati mereka mempunyai pengedar dan pembeli tertentu yang dipercayai akan menjualnya di pasaran sekitar Lembah Klang, namun tidak tolak kemungkinan dijual di luar Lembah Klang," ujarnya.

Fadil (tiga dari kanan) menunjukkan dadah jenis MDMA yang dirampas dalam serbuan di ibu negara 22 Ogos lalu.

Fadil berkata, siasatan awal juga mendapati sindiket ini masih menjalankan pengedaran secara konvensional iaitu menghantar terus bekalan kepada pembeli serta tidak menggunakan jualan secara dalam talian.

Menerusi serbuan itu juga, kata beliau, polis turut menyita wang tunai RM533,058; empat kereta mewah jenis BMW, Mercedes Benz dan Ford Mustang; dua utas jam tangan mewah; barang kemas, beg tangan dan beg sandang berjenama yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM1.534,695.

Fadil (kanan) melihat antara kenderaan mewah yang dirampas melibatkan ahli sindiket pengedaran dadah 22 Ogos lalu.

"Polis percaya salah seorang suspek merupakan ketua sindiket, dan kita yakin dengan penahanan ini akan ada serbuan susulan lain," ujar beliau.

Tegasnya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan melalui Hotline JSJN Bukit Aman di talian 012-2087222.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.