Terengganu terus dihantui wabak denggi

Iklan
Dr Mohd Jusoh

KUALA TERENGGANU - Sebanyak lima lokaliti wabak denggi dikesan masih aktif di negeri ini melibatkan tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Jusoh berkata, antara kawasan terlibat di Kuala Terengganu ialah Kampung Wakaf Beruas, Chabang Tiga; Kg Mengabang Tengah Hilir, Jalan Paya Jambul di Bukit Besar.

Iklan
Iklan

Manakala, bagi daerah Dungun dan Kuala Nerus, kawasan terlibat ialah Kg Alor Tembesu, Kuala Dungun 1 dan Taman Desa Solehah, Kuala Nerus.

Beliau berkata, sehingga 28 Disember lalu, kes denggi di Terengganu mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 88.4 peratus bersamaan 258 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Iklan

"Sehingga 28 Disember 2018, sebanyak 550 kes denggi direkodkan berbanding hanya 292 kes pada 2017.

"Tahun ini, tiga kematian dilaporkan iaitu dua kematian di Besut melibatkan dewasa dan satu kematian di Dungun melibatkan murid sekolah rendah.

Iklan

"Kes kematian akibat denggi juga menunjukkan peningkatan satu kes berbanding 2017," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan sama, daerah Kuala Terengganu mencatatkan bilangan kes denggi tertinggi iaitu 252 kes diikuti Besut (119 kes), Dungun (49), Kuala Nerus (36), Marang (35), Kemaman (32 ), Hulu Terengganu (14 ) dan Setiu (13).

"Semua daerah menunjukkan peningkatan kes pada 2018 berbanding tempoh sama pada 2017 kecuali daerah Setiu yang menunjukkan penurunan kes.

"Sehingga 28 Disember lalu, sebanyak 37 lokaliti wabak di Terengganu dilaporkan dengan bilangan tertinggi di Kuala Terengganu iaitu 22 lokaliti diikuti enam lokaliti di Besut, tiga lokaliti di Dungun, tiga lokaliti di Kuala Nerus, dua lokalti di Marang dan satu lokaliti di Setiu.

"Daerah Kemaman dan Hulu Terengganu masih kekal dengan sifar wabak denggi," katanya.