Mana janji peruntukan Sukma Johor?

Iklan
Tunku Ismail Sultan Ibrahim

PENGANJURAN Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang menyaksikan Johor sebagai tuan rumah masih menjadi tanda tanya.

Perkara itu dipersoalkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila mendapati tiada sebarang perbincangan dan gerak kerja termasuk peruntukan daripada kerajaan pusat seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Johor sepatutnya menganjurkan Sukma pada tahun 2020. Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) mengatakan kepada Exco Sukan dan Belia Johor (Mohd Khuzzan Abu Bakar) yang beliau ada bajet untuk Sukma bagi negeri.

"Tetapi dalam tempoh lapan bulan ini, tiada. Tiada mesyuarat, tiada jawapan dan nak jumpa pun susah. Kenapa berjanji pada mulanya,” katanya menerusi laman Twitternya sebentar tadi.

Iklan

Sebelum ini, Mohd Khuzzan yang mewakili kerajaan Johor menzahirkan sedikit kekecewaan apabila pembentangan Belanjawan 2019 yang dibentangkan kerajaan hari ini tidak menyatakan sebarang peruntukan untuk penganjuran Sukma di Johor.

Menurut Adun Semerah itu, peruntukan dari kerajaan persekutuan amat diperlukan memandangkan pengelolaan bagi penganjuran sukan itu memerlukan kos kira-kira RM90 juta bagi pembinaan dan naik taraf fasiliti sukan di yang sewajarnya di negeri ini.

Iklan

Sementara itu, dalam Tweet yang berasingan Tunku Ismail memberitahu pihaknya juga menerima pelbagai aduan dan rintihan rakyat mengenai usaha pembangunan belia di negeri ini.

"Ramai yang mengadu, belia menyatakan kekecewaan mereka kepada saya. Saya tidak mempunyai kuasa untuk buat apa mengenai isu ini cuma saya hanya boleh memberikan pendapat sahaja kepada pihak berkuasa.

"Kalau tidak boleh laksana permohonan yang ada, sekurang-kurangnya dengar,” katanya.

Tunku Ismail yang juga Penaung Diraja Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) turut menyarankan pihak bertanggungjawab untuk mendengar sendiri permasalahan yang berlaku daripada terus memencilkan diri.

Meskipun tidak menyebut sesiapa, dipercayai saranan tersebut ditujukan kepada Syed Saddiq yang mana sebelum ini lantang menyuarakan perihal mengenai hak golongan belia.

"Beri peluang untuk majlis, persatuan atau rakyat berjumpa. Dengar apa yang mereka nak cakap walaupun kamu tidak boleh tunaikan permintaan mereka.

"Sekurang-kurangnya beri muka untuk berjumpa, jangan halang atau meminta pembantu kamu yang menguruskan mereka,” katanya.