Kereta F1 kejuaraan pertama Schumacher bakal dilelong

Iklan
Jentera Benetton B192-05 yang dipandu Schumacher semasa menjuarai GP Belgium pada 1992 dilelong 23 Januari ini.

KERETA Formula Satu (F1) yang menyaksikan Michael Schumacher meraih kemenangan Grand Prix (GP) pertamanya pada 1992 dijangka dilelong pada harga melebihi 7.38 juta pound (kira-kira RM40.3 juta).

Jentera Benetton B192-05 itu dipandu legenda Jerman berkenaan ketika menjuarai GP Belgium di Spa-Francorchamps dalam keadaan hujan lebat, sekali gus membuka tirai kepada salah satu kerjaya paling dominan dalam sejarah F1.

Iklan
Iklan

Kemenangan bersejarah itu menjadi titik permulaan kepada kejayaan luar biasa Schumacher yang kemudiannya mengumpul tujuh gelaran dunia dan 91 kemenangan perlumbaan, rekod yang bertahan selama lebih sedekad.

Jentera ikonik berkenaan dijangka menjadi tumpuan utama apabila ditawarkan dalam Global Icons: Europe Online Auction yang bermula pada 23 Januari ini.

Iklan

Wakil Broad Arrow Auctions, Yves Boitel menyifatkan jentera itu sebagai antara kereta paling terkenal dalam sejarah F1, bukan sahaja kerana peranannya dalam mencorakkan kebangkitan Schumacher, malah sebagai simbol penamat era kotak gear manual di peringkat tertinggi sukan permotoran.

Difahamkan, kereta itu kekal dalam simpanan pasukan Benetton yang melalui beberapa perubahan akhirnya menjadi pasukan kilang Renault sebelum dikenali sebagai Alpine dan disimpan sebagai sebahagian daripada koleksi Renault Classics.

Iklan

Ini merupakan kali pertama jentera berkenaan ditawarkan untuk jualan kepada umum.

Schumacher kini berusia 57 tahun, tidak pernah muncul di khalayak ramai sejak mengalami kecederaan otak serius akibat kemalangan ketika bermain ski pada 2013.

Insiden itu menyaksikan beliau terjatuh dan terhantuk pada batu di kawasan luar trek ski, sebelum dikejarkan ke hospital dan menjalani beberapa pembedahan.