Gabungan pasukan drag bike Malaysia bawa cabaran di Buriram

Iklan
Rider GGR, Muhammad Fathi melakukan sesi ujian masa sebelum acara bermula pada Jumaat.

BARISAN pasukan drag bike Malaysia tampil bersatu dalam kejohanan antarabangsa Malaysia Drag Bike Coalition Teams yang berlangsung di Buriram United Dragster Track dari 9 hingga 11 Januari ini.

Penyertaan itu menghimpunkan beberapa pasukan dan bengkel perlumbaan tempatan yang tampil di bawah satu gabungan termasuk GGR Motor selain ESR, Pro Garage, BOT Racing, ZTP Motorworks dan Jeffry Motor Suzuka.

Iklan
Iklan

GGR Motor hadir ke Buriram dengan sandaran prestasi kukuh selepas mencatat kejayaan dalam kejohanan drag NGO Thailand edisi Hatyai yang berlangsung di Songkhla Speedway tahun lalu.

Dalam perlumbaan tersebut, jentera binaan GGR Motor bersama pro-rider Toei berjaya mencatat masa 5.9 saat bagi jarak 201 meter serta 9.4 saat bagi jarak 402 meter, sekali gus meletakkan pasukan itu dalam kelompok pencabar kompetitif di peringkat serantau.

Iklan

Lebih membanggakan, GGR Motor turut meraih kedudukan pertama selepas menewaskan beberapa pesaing kenderaan elektrik (EV) dari Thailand, membuktikan keupayaan talaan enjin dan ketahanan jentera pasukan berkenaan di pentas antarabangsa.

Prestasi itu menjadi antara sandaran utama GGR Motor menjelang cabaran di Buriram, yang terkenal sebagai litar drag berprofil tinggi serta sering menjadi medan persaingan sengit pasukan profesional dari Thailand dan rantau Asia Tenggara.

Iklan

Pasukan GGR Motor tiba di Buriram United Dragster Track.

Selain GGR Motor, penyertaan pasukan lain seperti Swipoh dan Shidie Motor turut dijangka memberi saingan sengit memandangkan masing-masing mempunyai pengalaman luas dalam kejohanan drag bike dan sokongan teknikal tersendiri.

Ketua Teknikal GGR Motor, Muhammad Fathi Mohamed Azmi berkata, pasukan meletakkan sasaran utama dalam kategori motosikal elektrik (EV) pada penyertaan kali ini, memandangkan segmen itu menjadi fokus pembangunan jentera GGR Motor sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, penyertaan di Buriram dilihat sebagai medan penting untuk menguji keupayaan sebenar jentera EV pasukan berkenaan berdepan pesaing antarabangsa khususnya pasukan Thailand yang memiliki kelebihan dari segi pengalaman dan penyesuaian trek.

“Kami sedar persaingan di sini sangat mencabar dan kemenangan bukan sesuatu yang mudah, namun sasaran kami jelas untuk memberi tentangan dalam kategori EV serta mengumpul pengalaman berharga bagi memperkukuh persiapan pada kejohanan akan datang,” katanya.

Beliau turut berharap agar penyertaan pasukan Malaysia di Buriram mendapat sokongan dan doa daripada peminat tempatan sambil menyifatkan kejayaan membawa pulang walaupun satu piala sudah cukup bermakna buat pasukan dan negara.

Penganjuran kejohanan di Buriram kali ini bukan sahaja menjadi medan persaingan malah membuka ruang pertukaran kepakaran antara pasukan Malaysia dan antarabangsa sekali gus dijangka memberi impak positif kepada pembangunan ekosistem drag bike tempatan.

Penyertaan kolektif pasukan Malaysia kali ini turut mencerminkan usaha bersama untuk mengangkat nama negara di pentas perlumbaan drag serantau, selain menguji tahap sebenar keupayaan jentera tempatan berdepan cabaran luar.